BIGWORLD 2025: Perkasa generasi pemimpin kewangan baharu
Gambar oleh Harinee A/P Kanapathi
SINTOK, 26 Oktober 2025 – Kelab Kewangan dan Perbankan (FABS), Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi mencipta kejayaan apabila berjaya menganjurkan program tahunan Banking and Investment Grand Olympiad and Leadership Development 2025 (BIGWORLD 2025) yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Oktober di Dewan Serbaguna dan Auditorium SAC, UUM.
Program ini menghimpunkan penyertaan pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi di seluruh negara termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Albukhary International University (AIU) dan Kolej Profesional MARA Bandar Melaka.
Dengan tema “FINNOVATE: Accelerating for a Sustainable Tomorrow”, BIGWORLD 2025 berperanan sebagai wadah pembentukan bakat muda dalam bidang kewangan dan perbankan.

Program ini bertujuan memperkukuh ilmu pengetahuan, mempertingkat kemahiran kepimpinan serta memupuk jaringan profesional dalam kalangan pelajar yang bakal menerajui industri kewangan pada masa hadapan.
Sepanjang program berlangsung, para peserta berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti menarik seperti sesi perkongsian industri, pertandingan Case Study Challenge, bengkel pembangunan kepimpinan dan pameran kerjaya yang dirangka khusus bagi memperluas perspektif pelajar terhadap landskap kewangan semasa.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar (HEP), Prof. Madya Dr. Zainudin Omar, bersama Timbalan Dekan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Dr. Wan Roshidah Fadzim.
Turut hadir barisan profesional industri dan panel penilai pertandingan, antaranya Dr. Vivek Subramaniam (Pengarah Eksekutif Disruptive Doctors), Chong Tun Pin (Ketua Jabatan Perbankan dan Pengurusan Risiko, UTAR) dan Lina Syazwani Isa (Ketua Jabatan Kewangan, KPJ Perlis Specialist Hospital).
Dalam ucapan penutupnya, Dr. Wan Roshidah menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga penganjur yang menunjukkan komitmen tinggi sepanjang penganjuran BIGWORLD 2025.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan program ini mencerminkan semangat kerja berpasukan, kecekalan serta daya kepimpinan pelajar UUM yang semakin menyerlah di peringkat nasional.
“BIGWORLD bukan sekadar platform pertandingan, tetapi medan pembelajaran yang memupuk pemikiran strategik dan nilai profesionalisme yang diperlukan dalam dunia kewangan sebenar,” ujar beliau.
BIGWORLD 2025 turut menampilkan beberapa penceramah industri berpengalaman seperti Noorhaliza Abu Bakar (Ketua AKPK Pulau Pinang), Lee Poh Jang (Ketua Wilayah Utara, Kenanga Investors Berhad), Jack Chan (Digital Asset Exchange Lead, SINEGY SAX Sdn. Bhd.), Charles Tan Swee Choon (Pengerusi MFPC Cawangan Pulau Pinang), Sin Chee Kwan (Ketua Pegawai Eksekutif Fin Freedom Sdn. Bhd.) dan Steve Lien Ee Choong (Wakil Peniaga, Hong Leong Investment Bank Berhad).
Selain perkongsian ilmu, program ini turut menganjurkan Mini Career Fair BIGWORLD 2025 yang disertai oleh tujuh syarikat ternama iaitu Malaysian Financial Planning Council (MFPC), Hong Leong Investment Bank Berhad, AmInvestment Bank Berhad, Pro Fin Consultancy, Fin Freedom Sdn. Bhd., KPJ Perlis Specialist Hospital dan G Plus Advisory Sdn. Bhd.
Secara keseluruhannya, BIGWORLD 2025 bukan sahaja memperkukuh literasi kewangan dan kebolehpasaran pelajar, malah turut mengukuhkan jaringan kolaborasi antara universiti dan industri. Penganjuran ini membuktikan komitmen UUM untuk terus menjadi peneraju dalam melahirkan generasi pemimpin kewangan yang berwawasan, inovatif dan berdaya saing di peringkat global. – Tan Zi Han
				
					


