Bubur lambuk jadi simbol penyatuan, semangat kerjasama
SINTOK, 26 Mac 2025: Sempena bulan Ramadan al-mubarak, Kelab Kebajikan Staf Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) dengan penuh semangat menganjurkan program khas Memasak Bubur Lambuk di Pusat Islam UUM.
Program yang dihadiri oleh 30 kakitangan SQS ini melibatkan ahli kelab kebajikan yang berganding bahu dalam menyediakan bubur lambuk istimewa mengikut resipi tradisional UUM, dengan bantuan daripada wakil Pusat Islam UUM.
Tidak hanya untuk dinikmati oleh warga UUM, bubur lambuk yang dihasilkan turut diedarkan kepada orang ramai, menjadikan program ini sebagai inisiatif kebajikan yang turut melibatkan komuniti setempat.
Pengerusi Kelab Kebajikan Staf SQS, Prof. Madya Dr Kamal Mohd Nawawi menyifatkan bubur lambuk yang lazat ini menjadi simbol penyatuan serta kerjasama antara warga UUM dalam semangat Ramadan yang penuh makna.
”Program ini memberikan peluang kepada kakitangan universiti untuk berkumpul, berkongsi kegembiraan, dan memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam suasana meriah sekali gus memperkukuhkan semangat kerjasama sesama warga UUM.
”Saya berharap program ini menjadi satu tradisi tahunan yang terus mengeratkan tali persaudaraan di kalangan warga Pusat Pengajian SQS,” ujarnya.
Inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi kebajikan, tetapi juga membawa lebih banyak makna kepada Ramadan, memperlihatkan semangat kerjasama dan ukhuwah di kalangan seluruh komuniti UUM.” – Nabilah Suhaimi