Campus

Cabaran program STEM di SK Sungai Pasir cetus minat matematik dalam kalangan murid

Gambar oleh PM. Dr. Nor Aishah Ahad

SUNGAI PETANI, 19 Ogos 2025: Program Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Kitaran 1 2025 fasa ke-2 telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Sungai Pasir yang melibatkan murid Tahun 4 dan 5 dalam usaha menyemai minat terhadap mata pelajaran matematik melalui pendekatan interaktif dan menyeronokkan.

Program yang dianjurkan dengan Kerjasama MOSTI dan pihak sekolah telah dilaksanakan oleh fasilitator dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif yang diketuai oleh PM. Dr. Nerda Zura Zaibidi bersama PM. Dr. Nor Aishah Ahad, PM. Dr. Adyda Ibrahim, PM. Dr. Rosshairy Abdul Rahman dan Dr. Mohammad Zukuwwan Zainol Abidin.

Program ini mengetengahkan dua aktiviti utama iaitu Prime Number Adventure dan Match Math, masing-masing direka untuk menguji dan mengukuhkan pemahaman asas murid terhadap konsep nombor serta operasi matematik. Memandangkan program ini dijalankan pada bulan kemerdekaan, tema kemerdekaan juga turut diselitkan dalam permainan ini.

Menurut PM. Dr. Nerda, program seperti ini bukan sahaja dapat membantu murid memahami konsep asas matematik secara lebih mendalam, malah mampu meningkatkan keyakinan diri dan sikap positif terhadap mata pelajaran ini.

“Melalui pendekatan hands-on dan permainan seperti ini, murid lebih mudah memahami konsep yang diajar. Ia juga menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan,” katanya.

Aktiviti STEM dalam Program STI ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memperkasakan penguasaan Matematik di peringkat sekolah rendah serta membuka ruang kepada pembelajaran yang lebih inovatif dan berimpak tinggi – PM. Dr. Nor Aishah Ahad

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button