Campus

CEDI mulakan projek hijau Arambam Cuanxin: Gerakan keusahawanan lestari berasaskan ESG bermula di UUM

Gambar oleh CEDI

SINTOK, 31 Julai 2025: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melaksanakan Taklimat Program Keusahawanan Peringkat Universiti Tahun 2025 sebagai pelancaran awal kepada program “Hijau Arambam Cuanxin: Program Keusahawanan Lestari – Memperkasa Kitar Tinggi Berasaskan ESG”, yang dibiayai oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Program ini merupakan inisiatif peringkat universiti bagi memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan mahasiswa melalui pendekatan lestari berasaskan prinsip Environmental, Social and Governance (ESG), selaras dengan agenda ekonomi hijau dan ekonomi kitaran negara.

Sesi taklimat telah dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Nurakmal binti Ahmad Mustaffa, Felo Bersekutu CEDI merangkap Ketua Projek, yang turut membentangkan perjalanan keseluruhan program dan pelan pelaksanaannya. Turut hadir ialah Dr. Saiful Azizi bin Ismail, Timbalan Pengarah (Bahagian Latihan dan Inkubator) CEDI yang menyampaikan ucapan aluan, serta Dr. Wan Aishah Wan Mohd Nowalid dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) selaku ahli pasukan pembangunan modul, bersama staf CEDI yang berperanan sebagai pasukan pelaksana program.

Program Hijau Arambam Cuanxin yang berjaya memperoleh pembiayaan sebanyak RM249,760 di bawah kategori peringkat universiti ini akan dilaksanakan selama setahun, bermula Oktober 2025 hingga September 2026.

Nama program ini menggambarkan semangat kelestarian (Hijau), permulaan (Arambam, bermaksud ‘beginning’ dalam bahasa Tamil), dan inovasi (Cuanxin, yang membawa maksud ‘pembaharuan’ dalam bahasa Mandarin), melambangkan gabungan nilai pelbagai budaya ke arah pembangunan lestari.

Program diteruskan dengan saringan pelajar dan pembentukan kumpulan peserta, melibatkan seramai 45 orang pelajar daripada pelbagai pusat pengajian di UUM. Mereka telah dibahagikan kepada 9 kumpulan dan diberikan tugasan awal termasuk mencipta nama dan logo kumpulan, menghasilkan video pitching produk, slogan kumpulan, serta menyusun struktur organisasi dalaman dengan pelantikan penghulu projek.

Setiap kumpulan akan menerima dana pemula perniagaan sebanyak RM5,000, di samping bantuan tambahan untuk pendaftaran perniagaan melalui SSM bagi menggalakkan pengkomersialan idea dan pembentukan syarikat pelajar.

Program ini akan dilaksanakan melalui tiga fasa utama. Fasa 1 iaitu saringan pelajar dan pengurusan modul latihan keusahawanan. Fasa 2 menumpukan kepada pelaksanaan lima modul latihan utama merangkumi komunikasi, reka bentuk produk, penjenamaan, pemasaran digital dan pengurusan kewangan, termasuk lawatan industri ke Thailand bagi memberi pendedahan kepada amalan kitar tinggi antarabangsa. Fasa 3 melibatkan pembentangan hasil projek, penilaian akhir serta perbincangan pelan tindakan kelestarian pasca program.

Antara rakan strategik yang terlibat dalam pelaksanaan program ini ialah Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah, Majlis Perbandaran Kubang Pasu, NGO Kami Peduli Sampah, serta syarikat pengurusan sisa e-Idaman.

Menurut Prof. Madya Dr. Nurakmal, program ini bukan sahaja memperkukuh pelaksanaan elemen ESG di universiti, malah memperkasakan pelajar sebagai peneraju dalam bidang keusahawanan hijau dan ekonomi kitar tinggi, dengan sokongan rakan industri dan agensi tempatan.

Sementara itu, Dr. Saiful Azizi dalam ucapannya menegaskan bahawa CEDI komited untuk terus menjadi peneraju dalam membangunkan ekosistem keusahawanan lestari di kampus melalui kolaborasi strategik antara akademia, industri dan komuniti.

Program ini dijangka memberi impak signifikan kepada pelajar dan komuniti setempat, khususnya dalam melahirkan generasi usahawan muda yang berdaya cipta, bertanggungjawab sosial serta menyumbang kepada matlamat Pembangunan Mampan (SDG 8 dan SDG 12) dan nilai Malaysia MADANI. – Akmal Ahlami Md Rozai

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button