Campus

CEDI perkasa pelajar melalui sesi Business Talk

Gambar CEDI

SINTOK, 12 November 2025: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus komited memperkukuhkan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar melalui penganjuran program Business Talk bertajuk “Memperkasa Usahawan: Let’s Strategize!!!” yang diadakan di Dewan Semarak Budi, Inapan Siswa (Inasis) Tradewinds.

Program itu telah menghimpunkan seramai 130 peserta yang terdiri daripada pelajar UUM serta pelajar dari beberapa buah sekolah sekitar Kedah.

Program ini menampilkan dua panel jemputan iaitu Pengarah Eksekutif, CEDI, Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan dan alumni UUM, Puteri Saidatul Azwa Tun Ali, yang kini bergiat aktif dalam bidang keusahawanan.

Dr. Shazida Jan menjelaskan bahawa CEDI memainkan peranan penting dalam melahirkan pelajar UUM yang berjiwa usahawan dan berdaya saing tinggi.

Menurutnya, CEDI berfungsi sebagai pusat utama pembangunan ekosistem keusahawanan universiti melalui pelbagai inisiatif latihan, program bimbingan, penyelidikan serta jaringan kerjasama strategik dengan agensi luar dan industri.

“Usaha CEDI bukan sekadar memberi pendedahan teori, malah turut menyediakan pelbagai platform praktikal seperti entrepreneurship bootcamp, business incubator, studentpreneur program, serta co-operative training bagi membantu pelajar membina pengalaman sebenar dalam dunia keusahawanan.

“Semangat, ketabahan dan keberanian untuk mengambil risiko adalah antara nilai utama yang perlu ada dalam diri setiap pelajar yang ingin bergelar usahawan berjaya,” katanya.

Sementara itu, Puteri Saidatul Azwa turut berkongsi pengalaman beliau sebagai alumni yang kini berjaya mengembangkan perniagaan sendiri.

Beliau menekankan kepentingan strategi, kreativiti dan nilai integriti dalam membina jenama serta mengekalkan kelestarian perniagaan dalam pasaran yang kompetitif.

Sesi perkongsian ini turut membuka ruang kepada peserta untuk berinteraksi secara langsung bersama panel melalui sesi soal jawab yang interaktif dan bermanfaat.

Peserta, termasuk pelajar sekolah, menyatakan bahawa program sebegini amat memberi inspirasi serta membuka minda mereka untuk memahami potensi keusahawanan sejak di bangku persekolahan lagi.

CEDI melalui program seperti ini terus membuktikan komitmennya dalam melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki semangat keusahawanan yang tinggi, berfikiran strategik serta mampu menjadi peneraju kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara pada masa hadapan. – Mira Nadhirah Mohd Nazri (Pelajar Pelatih CEDI)

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button