Celik muamalat tingkat kefahaman kewangan Islam
Berita dan gambar Wahidah Shari
SINTOK, 4 Disember 2025: Institut Tadbir Urus Shariah dan Kewangan Islam (ISGaIF), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dengan kerjasama Hong Leong Islamic Bank telah berjaya menganjurkan program “Celik Muamalat” di Studio OYAGSB, UUM.
Program ini berjaya menarik penyertaan seramai 130 peserta, merangkumi pelajar siswazah serta staf akademik IBS.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, IBS, Prof. Madya. Dr. Norazlina Abd Wahab, di mana dalam ucapannya menekankan kepentingan literasi muamalat Islam dalam menghadapi cabaran kewangan moden.
Beliau turut menghargai kerjasama strategik antara UUM dan institusi perbankan bagi memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap kewangan patuh Syariah.
“Semoga kerjasama sebegini dapat diteruskan lagi supaya manfaatnya dapat disebar luaskan kepada seluruh warga UUM lain,” katanya.
Program ini menampilkan dua penceramah jemputan daripada Hong Leong Islamic Bank, iaitu Muhammad Sahrim selaku Penasihat Syariah dan Azman Hassan yang merupakan Agency Manager Hong Leong MSIG Takaful.

Pengisian program disampaikan melalui dua slot utama yang memberi pendedahan menyeluruh berkaitan muamalat dan kewangan Islam. Slot pertama yang dibentangkan oleh Muhammad Sahrim menekankan prinsip-prinsip asas muamalat, konsep keadilan dalam transaksi, serta aplikasi praktikal dalam produk perbankan Islam masa kini.
Seterusnya, slot kedua oleh Azman Hassan menjelaskan peranan takaful dalam pengurusan risiko, di samping memperincikan kepentingan perancangan harta pusaka Islam bagi memastikan agihan harta dilaksanakan dengan teratur dan mematuhi ketetapan Syariah.
Selain itu, program turut menyediakan reruai pameran oleh MSIG Takaful dan Hong Leong Islamic Bank, yang memberi peluang kepada peserta mendapatkan maklumat secara langsung mengenai produk kewangan Islam, perbankan digital patuh Syariah, dan pelan perlindungan takaful.

Penganjuran program ini memberikan impak yang signifikan, khususnya dalam meningkatkan kefahaman peserta terhadap amalan muamalat semasa dalam industri perbankan Islam serta kesedaran mengenai kepentingan perancangan harta pusaka.
Maklum balas peserta juga menunjukkan minat yang tinggi terhadap peluang untuk memahami aplikasi sebenar Syariah dalam sistem kewangan moden.
Program ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan UUM dalam memperkasa literasi kewangan Islam dan menyemai budaya kewangan beretika dalam kalangan masyarakat kampus.



