COLGIS CONNEX kukuhkan hubungan, kolaborasi dan kecemerlangan
Berita dan gambar Abu Bakar Omar Hamdan
SINTOK, 28 Oktober 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pejabat Penolong Naib Canselor UUM COLGIS telah menganjurkan COLGIS CONNEX 2025 selama tiga hari bermula 21 hingga 23 Oktober lalu di sekitar Foyer UUM COLGIS dan UUM.

Berteraskan tema “Keterhubungan, Kolaborasi dan Kecemerlangan”, Penolong Naib Canselor UUM COLGIS, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab berkata, program ini bertujuan memperkukuhkan hubungan strategik antara warga universiti, alumni, agensi luar dan industri, di samping memupuk semangat kekitaan serta kesejahteraan komuniti kampus.
Menurutnya, penganjuran program ini merupakan inisiatif yang mendokong aspirasi universiti dalam memperluas jaringan industri dan meningkatkan penglibatan staf serta pelajar melalui pelbagai aktiviti akademik, kesihatan, sosial dan komuniti.
“COLGIS CONNEX 2025 menjadi landasan untuk menghubungkan kecemerlangan akademik dengan realiti industri serta memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat, selaras dengan visi UUM sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka,” katanya.

Sepanjang tiga hari pelaksanaan, pelbagai program menarik diadakan termasuk program derma darah daripada Hospital Sultanah Bahiyah, Jualan Rahmah MADANI, carboot sale, reruai agensi seperti KWSP, PTPTN, Pusat Bantuan Guaman Kedah, Proton, Cuepacs dan Hong Leong Takaful, SoG Fiesta Night, serta International Legal Conference 2025 dan UUM-ICM Legal Conference.
Program turut diserikan dengan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UUM dan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) bagi memperkukuhkan kerjasama akademik dan penyelidikan antarabangsa.
Program COLGIS CONNEX 2025 telah menarik penyertaan meluas dari kalangan staf akademik dan pentadbiran, pelajar, alumni, agensi luar serta komuniti sekitar Sintok, dan diharapkan menjadi acara tahunan yang terus menyemarakkan semangat keterhubungan warga UUM.



