Campus

Dapur siswa MADANI dan ResQ Pek UUM dilancar, bantu ringankan beban mahasiswa

Gambar oleh Hairul Nizam Zahari
AlOR SETAR, 11 Februari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh komitmen kebajikan pelajar menerusi pelancaran Dapur Siswa MADANI dan MADANI ResQ Pek UUM yang berlangsung sempena Program Karisma Pemikir MADANI Kepimpinan Tertinggi Universiti Utara Malaysia (UUM) di Ballroom, Hotel Grand Alora, di sini, hari ini.
Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, sekali gus menzahirkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa, khususnya dalam mendepani cabaran kos sara hidup.
Inisiatif Dapur Siswa MADANI diperkenalkan sebagai platform penyediaan makanan kepada pelajar yang memerlukan, manakala MADANI ResQ Pek UUM dengan slogan “Tak Lapaq Dah” pula menyediakan bantuan pek makanan asas bagi memastikan tiada mahasiswa yang terputus bekalan makanan sepanjang tempoh pengajian.
Pelaksanaan program ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, kesejahteraan dan kemampanan dalam membina ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif dan seimbang.
Usaha bersepadu ini turut memperlihatkan peranan universiti sebagai institusi yang bukan sahaja menumpukan kecemerlangan akademik, malah mengutamakan kebajikan komuniti kampus.
UUM percaya bahawa inisiatif ini mampu membantu meringankan beban kewangan pelajar, di samping memastikan mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran dalam persekitaran yang lebih kondusif dan sejahtera.
Dengan pelaksanaan Dapur Siswa MADANI dan MADANI ResQ Pek UUM, universiti ini sekali lagi membuktikan komitmennya dalam menyokong agenda kebajikan mahasiswa secara holistik, selaras dengan matlamat melahirkan graduan yang cemerlang, berdaya tahan dan berjiwa MADANI.
Selain itu, Dr. Zambri turut menyampaikan sumbangan MADANI ResQ Pek kepada lima orang pelajar dalam majlis tersebut.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Dr. Mazlan Yusoff; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Pengarah Bahagian Kepimpinan Negara, Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Mohd Khailani Ismail serta barisan kepimpinan tertinggi universiti.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button