Campus

Dapur Siswa MADANI Guna Teknologi Retort, UUM Lancar MADANI ResQ Pek ‘Tak Lapaq Dah’

Gambar oleh Unit Foto JKK

ALOR SETAR, 11 Feb – Prihatin terhadap tekanan kos sara hidup yang dihadapi mahasiswa, Universiti Utara Malaysia (UUM) melancarkan Dapur Siswa MADANI serta memperkenalkan produk makanan siap sedia, MADANI ResQ Pek UUM, dalam satu majlis yang berlangsung sempena Program Karisma Pemikir MADANI Kepimpinan Tertinggi universiti itu di Hotel Grand Alora, di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir yang menegaskan komitmen kerajaan memastikan kebajikan mahasiswa terus menjadi agenda utama negara.

Berbeza dengan konsep dapur konvensional, Dapur Siswa MADANI UUM dibangunkan sebagai dapur utama (central kitchen) berteknologi tinggi yang menggunakan sistem retort, iaitu kaedah pemprosesan makanan bertekanan dan bersuhu tinggi bagi memastikan makanan tahan lebih lama, selamat serta mengekalkan kualiti dan nutrisi.

Pengerusi Majlis Pengetua Inapan Siswa UUM berkata, dapur berkenaan bukan sahaja menyediakan keperluan makanan harian, malah berfungsi sebagai pusat pengeluaran rasmi MADANI ResQ Pek UUM.

“Dapur ini akan diperkasakan sebagai hab pengeluaran sebelum agihan dilaksanakan ke 16 Inapan Siswa di seluruh kampus dalam fasa terdekat. Konsepnya berteraskan pendekatan ‘grab, reheat and eat’, di mana pelajar hanya perlu mengambil pek makanan, memanaskannya dan terus menikmati hidangan dengan mudah serta praktikal,” katanya.

Melalui teknologi retort, makanan dibungkus dalam pek khas yang boleh disimpan lebih lama tanpa memerlukan bahan pengawet tambahan. Kaedah ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, malah memastikan piawaian keselamatan makanan dipatuhi secara lebih sistematik dan berskala besar.

Sebagai pelengkap sistem agihan, sebanyak 16 dapur satelit akan diwujudkan di setiap Inapan Siswa dalam tempoh terdekat. Dapur satelit itu akan dilengkapi kemudahan seperti ketuhar gelombang mikro, ruang makan, sinki dan rak penyimpanan bagi menempatkan MADANI ResQ Pek UUM.

Mahasiswa yang dikenal pasti memerlukan bantuan boleh mendapatkan pek makanan berkenaan secara berhemah dan tanpa rasa terpinggir, selaras dengan matlamat memastikan tiada pelajar berdepan isu keterjaminan makanan sepanjang tempoh pengajian.

Produk dengan slogan ‘Tak Lapaq Dah’ itu menyediakan hidangan asas lengkap dan seimbang bagi membantu mahasiswa menumpukan perhatian kepada pembelajaran tanpa dibebani kebimbangan keperluan harian.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Ahmad Martadha Mohamed berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan peranan universiti sebagai institusi yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik, malah bertanggungjawab menjaga kebajikan komuniti kampus.

“Apabila keperluan asas mahasiswa terjamin, mereka dapat memberi fokus sepenuhnya kepada akademik dan pembangunan potensi diri,” katanya.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan MADANI ResQ Pek kepada lima mahasiswa sebagai simbolik pelancaran.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Mazlan Yusoff; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Megat Sany Megat Ahmad Supian; serta Pengarah Bahagian Kepimpinan Negara, Akademi Kenegaraan Malaysia, Mohd Khailani Ismail.

Dengan pelaksanaan Dapur Siswa MADANI sebagai dapur utama berteknologi retort dan rangkaian dapur satelit di semua Inapan Siswa, UUM sekali lagi memperkukuh komitmen dalam memastikan kebajikan mahasiswa diperkasa secara menyeluruh dan berimpak tinggi. – Dr. Mohd Abidzar bin Zainol Abidin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button