DHL APSSC dan PPKKG bincang program dan pembangunan kerjaya pelajar UUM
Gambar Dr. Fikriyah Abdullah
SINTOK, 16 Disember 2025: Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) telah menerima kunjungan daripada DHL Asia Pacific Shared Services Centre (DHL APSSC) yang diwakili oleh Pengurus Kanan – Rakan Niaga Sumber Manusia, Saiful Nahar Mohd Rusli, baru-baru ini.
Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah berkata, sesi ini menjadi platform bermakna bagi perbincangan potensi kerjasama strategik antara kedua-dua pihak, khususnya dalam pembangunan kerjaya serta peningkatan kebolehpasaran graduan.

Menurutnya, perkongsian ini mencerminkan komitmen berterusan DHL APSSC dalam menyokong pembangunan bakat muda dan menyediakan pendedahan awal kepada persekitaran kerja global.
Perbincangan ini turut melibatkan Penyelaras School of Hard Knocks (SoHK), Dr. Adilah Azhari yang memberi tumpuan kepada usaha memahami secara menyeluruh konsep dan pelaksanaan SoHK, termasuk kaedah pelaksanaan yang bersesuaian bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan secara sistematik dan memberi impak yang signifikan kepada pembangunan pelajar UUM.
Antara perkara utama yang dibincangkan ialah pendekatan pelaksanaan SoHK, struktur program, peranan rakan industri serta penyelarasan aktiviti bersama pihak universiti.
Sementara itu, DHL APSSC turut berkongsi amalan terbaik dan pengalaman industri dalam melaksanakan program pembangunan bakat, selaras dengan keperluan semasa pasaran kerja dan aspirasi UUM untuk melahirkan graduan yang berdaya saing.
Pada sesi sama, Saiful Nahar menunjukkan minat untuk menyertai program SoHK dan bercadang untuk mengadakan pengambilan DHL Padawan yang dijadualkan bermula pada semester hadapan.

Program ini dirangka bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar UUM terhadap dunia industri melalui pembelajaran berasaskan pengalaman, latihan berstruktur serta pembangunan kemahiran insaniah dan profesional.
Selain itu, perancangan pelbagai aktiviti dan program untuk pelajar UUM turut dibincangkan, termasuk bengkel pembangunan kerjaya, sesi perkongsian industri, bimbingan dan pementoran, serta program berimpak tinggi yang mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Kerjasama strategik ini dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan industri global.
Diharapkan kolaborasi ini akan terus diperkukuh sebagai usaha berterusan memperkasa pelajar UUM dan menyokong agenda universiti dalam melahirkan graduan yang kompeten, berkeyakinan dan bersedia menghadapi cabaran kerjaya di peringkat nasional dan antarabangsa. – Anis Zulaikha Kamal



