Campus

Dua staf pentadbiran UUM terima watikah kenaikan pangkat

Gambar Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 17 November 2025: Dua staf pentadbiran Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini telah menerima watikah kenaikan pangkat yang disampaikan Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan di Bilik Mesyuarat Naib Canselor.

Mereka ialah Pegawai Tadbir, Faizah Hashim dari Jabatan Sumber Manusia (JSM) dan Pegawai Tadbir, Hasliza Hassan dari Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Universiti (PKKU).

Faizah menerima kenaikan pangkat ke jawatan Pegawai Tadbir N14, manakala Hasliza menerima kenaikan pangkat secara memangku bagi jawatan Pegawai Tadbir N12.

Faizah melahirkan rasa syukur dan gembira atas kenaikan pangkat tersebut yang dianggap sebagai satu hadiah kepadanya yang bakal bersara wajib pada tahun hadapan.

Menurutnya, selama 35 tahun berbakti kepada universiti bermula sebagai pembantu tadbir dan kini pegawai tadbir, banyak mengajarnya terutama dalam aspek tadbir urus.

“Saya harap dapat membantu jabatan untuk memantapkan lagi tadbir urus di saat-saat sebelum kerjaya saya sebagai penjawat awam berakhir.

“Saya berpuas hati kerana keikhlasan dan keberkatan akhirnya memberi kejayaan diri. Selama 35 tahun ini juga saya menjaga prestasi, kehadiran, disiplin diri kerana ingin membentuk jati diri,” katanya.

Faizah berkata, semua rezeki ini datangnya dari Allah, berkat bekerja semua itu dengan mematuhi peraturan, kerja penuh efisien dan dedikasi yang tinggi ketika bekerja.

Sementara itu, Hasliza juga turut melahirkan rasa syukur atas kenaikan pangkat tersebut.

Menurutnya, hampir 20 tahun berkhidmat di universiti ini, banyak yang dipelajarinya bermula di Jabatan Hal Ehwal Pelajar termasuk menjadi Pegawai Khas Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), diikuti Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan dan kini di PKKU.

Hadir sama, Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah dan Bursar, Mohtar Hasim serta Pengarah Canselori, Mohd Zulkifli Mohd Noor.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button