Employer Connection Inasis Proton UUM
SINTOK, 1 Jun 2025: Seramai 80 orang pelajar Tingkatan Enam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Muda Musa, Kuala Kangsar telah menyertai lawatan akademik ke Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai satu inisiatif memperkenalkan mereka kepada suasana dan budaya pembelajaran di institusi pengajian tinggi.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada Program Employer Connection INASIS Proton UUM Bersama Pusat Tingkatan Enam SMK Raja Muda Musa: Dari Sekolah ke Varsiti, Inspirasi Masa Depan yang dianjurkan oleh pihak INASIS Proton, UUM. Rombongan pelajar yang turut diiringi oleh 18 orang guru pengiring ini telah disambut dengan mesra oleh barisan pelajar dan pentadbiran INASIS Proton sebaik tiba di kampus Sintok.
Sepanjang program berlangsung, para pelajar mengikuti pelbagai aktiviti bermanfaat seperti senamrobik di Dataran INASIS Proton, lawatan ke Dewan Kuliah Gugusan 6, sesi motivasi bersama pensyarah dan alumni, serta pameran akademik di Anjung Tamu.
Mereka juga berpeluang menghadiri kelas universiti secara langsung di dewan kuliah bersama Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin, pensyarah UUM, bagi merasai pengalaman sebenar suasana pembelajaran di peringkat universiti.
Antara yang turut berkongsi pengalaman ialah Ahmad Syafiqul Syamil Ahmad Hisham, pelajar tahun satu dalam bidang Sains Multimedia di UUM. Beliau menyatakan bahawa lawatan ke UUM semasa beliau di Tingkatan Enam dahulu telah memberi inspirasi dan membantu beliau menetapkan hala tuju selepas STPM. Katanya, program seperti ini mampu membuka minda pelajar terhadap peluang yang ada di universiti dan mendorong mereka untuk lebih bersedia menghadapi masa depan.
Program ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran pelajar tentang pilihan pengajian selepas STPM, malah menyuntik inspirasi dan aspirasi untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Ia juga menjadi platform awal dalam memperkukuh jalinan antara institusi pendidikan menengah dengan institusi pengajian tinggi dalam usaha melahirkan generasi berilmu, berketerampilan dan berdaya saing.
Dengan penganjuran program seumpama ini secara berterusan, UUM terus komited menjadi pemangkin kepada masa depan pendidikan negara melalui kolaborasi strategik yang menyatukan sekolah dan universiti demi kecemerlangan pelajar.