Festival Lestari 2025 angkat kesedaran kelestarian melalui media digital
Berita dan gambar –
SINTOK, 25 Januari 2026: Festival Lestari 2025 anjuran E-Idaman Sdn. Bhd. dengan kerjasama Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melabuhkan tirainya dengan Majlis Penutup Hari Karyawan di Dewan Seminar SMMTC, baru-baru ini.
Festival yang bertemakan “Be the Voice of Sustainability” ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap amalan lestari, khususnya kitar semula, pengurusan sisa pepejal dan tanggungjawab sosial terhadap alam sekitar.

Program ini turut menggalakkan pelajar untuk menjadi suara perubahan melalui penghasilan kandungan media digital yang kreatif dan beretika.
Pertandingan bahan media kreatif yang berlangsung secara dalam talian dari 20 Oktober hingga 20 Disember 2025 itu menerima sebanyak 31 penyertaan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Politeknik Syed Sirajuddin (PTSS) serta UUM.
Majlis penutup turut menampilkan dua sesi Bicara Lestari iaitu “Kelestarian Media Digital” oleh Ketua Unit Komunikasi Korporat PTSS, Nazirul Aiman Md Hassan serta “Integriti Dalam Media Digital” oleh Pensyarah Kanan SMMTC UUM, Dr. Noor Aziah Abdullah.
Segmen Hari Anugerah Festival Lestari 2025 menyaksikan penyampaian hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM4,400 tajaan E-Idaman, termasuk RM700 bagi pemenang kategori Video Pendek dan RM500 bagi kategori Pengumuman Khidmat Awam (PSA). Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Dekan SMMTC, Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad bersama Ketua Bahagian Komunikasi Korporat E-Idaman, Ahmad Fuad Abdul Rahim.

Dalam ucapannya, Dr. Mohd Khairie menyeru pelajar agar bukan sahaja cakna terhadap isu kelestarian, tetapi turut aktif mempromosikan agenda tersebut.
Menurutnya, kesedaran serta kecaknaan pelajar selaku bakal pemimpin kerajaan dan korporat dapat menggambarkan senario alam sekitar pada masa depan.
Sementara itu, Ahmad Fuad pula menegaskan komitmen E-Idaman untuk terus bekerjasama dengan UUM dalam memperkukuhkan usaha mempromosi kebersihan dan kelestarian alam di utara Malaysia.
Festival Lestari 2025 sekali lagi membuktikan peranan generasi muda sebagai agen perubahan, menggabungkan elemen kelestarian, kreativiti dan media digital demi pembangunan mampan negara.



