Finishing School BHalal 2026 perkukuh persediaan 55 pelajar Kohort Pertama WBL
Berita dan gambar Dr. Norazilawati Md Dahlal
SINTOK, 26 Februari 2026: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Finishing School BHalal 2026 pada 8 hingga 10 Februari lalu di DKG 3/3 UUM sebagai persediaan komprehensif pelajar sebelum menjalani penempatan Satu (1) Tahun Industri BHalal.
Program ini melibatkan seramai 55 pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Halal dengan Kepujian Kohort A231, yang merupakan kohort pertama bakal menjalani Work-Based Learning (WBL) selama satu tahun penuh pada semester hadapan, selaras dengan pelaksanaan model 3u1i UUM.

Program ini menampilkan penglibatan wakil industri seperti Rozana Abdul Jalil (Kyros Food Industries Sdn. Bhd.) dan Ts. Mohd Azimi Mohd Basri (Legoland Malaysia) yang menekankan kemahiran penting untuk berdepan dunia pekerjaan, termasuk komunikasi profesional, disiplin kerja, pematuhan prosedur serta kecekapan teknikal dalam industri halal dan makanan.
Pensyarah Kanan IBS, Dr. Amirul Haqeem Abd Ghani turut dijemput khas bagi memberi pengisian berkaitan pembentukan jati diri, ketahanan diri dan tanggungjawab sebagai pelajar yang membawa nama universiti ketika berada di organisasi industri.
Satu sesi khas turut diadakan sebagai ruang interaksi terakhir antara pelajar dan pensyarah sebelum tempoh penempatan bermula. Sesi tersebut menjadi detik bermakna yang mencipta memori sepanjang tempoh di kampus, selain menyuntik semangat kepada pelajar untuk terus berjuang walaupun berada jauh daripada pemantauan rapat pensyarah dan rakan sekuliah.
Pelajar, Fatin Auni Mohammad Rizal berkata, Program Finishing School ini sangat bermakna dan bermanfaat kerana dia mendapat pendedahan yang lebih mendalam tentang HACCP dan GMP.

“Perkongsian pengalaman sebenar daripada pihak industri benar-benar membantu saya membuat persiapan untuk menghadapi latihan industri nanti,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Harith Azman berpendapat elalui program ini, dia lebih memahami cara untuk berkomunikasi, bergaul dan menyesuaikan diri di tempat latihan industri seperti yang diterangkan oleh penceramah, sekali gus memberi keyakinan sebelum memulakan penempatan.
Secara keseluruhannya, Finishing School BHalal 2026 memberi kesan positif sebagai platform persediaan akhir sebelum pelajar melangkah ke alam industri sebenar, selaras dengan komitmen IBS UUM dalam melahirkan graduan yang kompeten, berintegriti dan seimbang dari segi ilmu, kemahiran serta sahsiah diri.



