Campus

Gandingan penjawat baru dan lama mantapkan pengurusan SOE 2026

Gambar Pusat Pengajian Pendidikan

SINTOK, 12 Mac 2026: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) telah mengadakan Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas Penjawat bagi tahun 2026, baru-baru ini.

Majlis ini turut menjadi platform untuk memperkenalkan barisan penjawat baharu serta mengukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan warga Pusat Pengajian Pendidikan bagi memastikan kecemerlangan organisasi terus dipertingkatkan selaras dengan aspirasi universiti.

Dekan SOE, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada penyandang terdahulu atas segala komitmen, dedikasi serta sumbangan yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

Menurutnya, setiap peranan yang digalas oleh warga pusat pengajian memainkan peranan penting dalam memastikan kecemerlangan akademik, pengurusan serta pembangunan organisasi sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Gandingan pengalaman barisan penjawat lama bersama idea serta pendekatan baharu daripada penjawat yang dilantik diyakini mampu memperkukuh lagi pengurusan Pusat Pengajian Pendidikan.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penyandang terdahulu atas sumbangan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan kepada Pusat Pengajian Pendidikan.

“Semoga segala pengalaman dan kepakaran yang telah diberikan akan terus menjadi asas kepada kecemerlangan pusat pengajian ini pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada penjawat baharu dan berharap agar mereka dapat meneruskan legasi kecemerlangan serta melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab dan komitmen. – Hasliza Shafie

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button