Campus

Graduan bertaraf global, berjati diri tempatan

Gambar oleh Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 12 November 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus membuktikan komitmennya dalam melahirkan modal insan bertaraf global yang berakar pada nilai tempatan, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani, kata Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Sesi Keenam Majlis Konvokesyen ke-38 UUM yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, pagi ini.

Seramai 844 graduan menerima ijazah masing-masing melibatkan program Sarjana Muda Perakaunan, Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat), Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan), Sarjana Muda Pengurusan Operasi, dan Sarjana Muda Pengurusan Teknologi.

Dr. Mohd Foad menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian graduan UUM, khususnya peserta Program Elite Management Trainee (EMT) hasil kerjasama dengan PKT Logistics Group.

“Seramai 18 graduan dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) menyertai program tersebut selama setahun dan telah diserap bekerja di syarikat logistik berkenaan dengan gaji permulaan RM4,200 sebulan. Sebelum melangkah ke pentas konvokesyen, mereka telahpun bekerja dan sebahagian daripada mereka turut berada di dalam dewan pagi ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, keluarga, pensyarah dan seluruh warga kerja universiti yang menjadi tulang belakang kejayaan para graduan.

Dr. Mohd Foad turut berkongsi enam kejayaan terkini universiti:

  1. Jumlah alumni UUM kini mencecah hampir 180,000 orang, termasuk graduan konvokesyen kali ini;
  2. QS World University Rankings 2026 menyaksikan UUM melonjak ke kedudukan ke-491 dunia, naik 63 anak tangga berbanding tahun sebelumnya;
  3. Dalam QS World University Rankings: Asia 2026, UUM berada di tangga ke-65 terbaik Asia, bukti peningkatan reputasi antarabangsa;
  4. Kadar kebolehpasaran graduan atau GM mencapai 96.6 peratus, meningkat daripada 95 peratus tahun sebelumnya;
  5. 918 graduan (15 peratus) memperoleh pendapatan melebihi RM4,000 sebulan, manakala 13 graduan sarjana muda sudah berpendapatan lebih RM10,000 sebulan; dan
  6. Program Perbankan UUM dinobatkan terbaik di Malaysia oleh majikan melalui Talentbank.

Selain itu, UUM turut menerima Employers’ Choice Award 2024 serta penarafan enam bintang bagi beberapa program utama seperti Perakaunan, Ekonomi, Keusahawanan, Kewangan, Pengurusan Sumber Manusia, Logistik dan Pemasaran.

Menyentuh tema ucapannya, “Melahirkan Modal Insan Bertaraf Global, Berakar pada Nilai Tempatan”, Dr. Mohd Foad mengingatkan para graduan agar terus berusaha menjadi tenaga profesional dan usahawan berdaya saing, terutama dalam era kecerdasan buatan (AI).

“Graduan bukan sahaja perlu menjadi pengguna teknologi, tetapi turut berpotensi menerajuinya pada masa hadapan,” tegas beliau.

Menurutnya lagi, permintaan tinggi terhadap program perakaunan UUM membuktikan reputasi akademik universiti tersebut apabila 1,282 pemohon memperoleh merit 100 peratus bagi hanya 350 tempat pada sesi pengambilan September 2025.

Beliau turut menekankan bahawa ramai pelajar antarabangsa, termasuk dari China, memilih UUM sebagai destinasi pengajian, dan kejayaan mereka di pentas global menjadi bukti pengiktirafan terhadap kualiti pendidikan universiti itu.

Dr. Mohd Foad turut menekankan kepentingan integriti, etika dan disiplin sebagai asas kejayaan berpanjangan, serta mengajak graduan menunaikan tanggungjawab melunaskan pinjaman pendidikan seperti PTPTN, MARA dan JPA dengan penuh amanah.

“Malaysia sentiasa memerlukan bakat global yang teguh jati diri. Walau di mana pun kita berada, jangan sesekali lupakan akar nilai tempatan yang membentuk keperibadian dan kejayaan kita,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button