Graduan UUM main peranan dalam pelaporan kebolehpasaran graduan melalui SKPG
Berita dan gambar Anis Zulaikha Kamal
SINTOK, 6 November 2025: Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Grdauan (PPKKG) telah membuka Kaunter Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) sepanjang sesi pengambilan jubah konvokesyen sebagai inisiatif membantu graduan melengkapkan pengisian kajian yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah berkata, soal selidik SKPG dijalankan oleh KPT terhadap graduan bagi mengetahui status pekerjaan terkini graduan, di samping mendapatkan pandangan mereka berhubung program pengajian, kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh institusi pendidikan tinggi masing-masing.

Selain itu, menurutnya, SKPG ini turut bertujuan untuk mendapat gambaran sebenar kebolehpasaran graduan (employability) dalam kalangan graduan baharu, memahami isu-isu berkaitan pekerjaan dan kebolehpasaran serta mengenal pasti majikan graduan dan bagi mendapatkan maklum balas daripada graduan berkaitan aspek penting institusi seperti kualiti program pengajian, tenaga pengajar, infrastruktur dan prasarana.
Sepanjang tempoh pelaksanaan, kaunter ini turut dibantu oleh 10 pelajar daripada On-Campus Job (OCJ) yang berperanan sebagai fasilitator dalam memberi penerangan dan panduan kepada graduan berkaitan kaedah pengisian SKPG secara dalam talian.
Setakat 3 November 2025, seramai 6,255 daripada 6,757 graduan, iaitu 93 peratus, telah berjaya melengkapkan kajian berkenaan.
Pencapaian ini menunjukkan tahap kesedaran dan kerjasama yang tinggi dalam kalangan graduan terhadap kepentingan data SKPG dalam menilai kebolehpasaran serta keberkesanan program akademik universiti.

“Kejayaan peratusan pengisian yang tinggi ini membuktikan komitmen bersama antara pihak universiti dan graduan dalam memastikan data kebolehpasaran yang dilapor kepada KPT adalah tepat dan menyeluruh.
“Pelaksanaan kaunter SKPG ini bukan sahaja memudahkan proses pelaporan, tetapi juga memperkukuh kesedaran graduan terhadap kepentingan maklum balas mereka dalam usaha universiti menambah baik program akademik serta kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan,” kata Dr. Fikriyah.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen UUM dalam memastikan setiap graduan memainkan peranan penting dalam pelaporan data kebolehpasaran yang menjadi penanda aras keberkesanan program pengajian, di samping menyokong hasrat KPT untuk memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara.



