Campus

Hari terbuka SME Corp @ Kedah 2025: CEDI UUM bawa manfaat teknologi AI kepada usahawan

Gambar oleh CEDI

ALOR SETAR, 23 September 2025: Program Hari Terbuka SME Corp @ Kedah 2025 telah berjaya dianjurkan pada 23 September (Selasa) bertempat di Ballroom Raia Hotel and Convention Centre, Alor Setar. Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang ini menghimpunkan lebih 100 peserta terdiri daripada usahawan sekitar Kedah dan Perlis serta staf akademik dan pentadbiran Universiti Utara Malaysia (UUM).

Acara utama program ialah Bengkel Pemerkasaan Perniagaan Digital dengan Artificial Intelligence (AI) yang disampaikan oleh Ts. Dr. Mathivannan Jaganathan, Pensyarah Kanan UUM, Professional Technologist MBOT, merangkap Felo Bersekutu Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) UUM.

Bengkel ini memberi pendedahan menyeluruh mengenai strategi perniagaan dan kaedah pemasaran digital dengan mengaplikasikan teknologi AI, khususnya dalam penghasilan kandungan kreatif, pantas dan efektif.

Selain bengkel, program turut diserikan dengan sesi taklimat agensi oleh TM Unifi Business dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang berkongsi maklumat mengenai perkhidmatan sokongan serta peluang bimbingan untuk usahawan.

Program ini juga menampilkan pameran usahawan dan agensi yang memberi peluang kepada peserta mendapatkan maklumat perkhidmatan serta membina rangkaian perniagaan secara terus. Antara agensi yang terlibat termasuk Bank Rakyat, TEKUN Nasional, SME Corp., AKPK, TM Unifi Business serta beberapa usahawan tempatan yang mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka.

Kehadiran pempamer menambah nilai kepada program dengan menyediakan platform perkongsian maklumat, peluang kerjasama serta khidmat nasihat perniagaan secara praktikal kepada peserta.

Hari Terbuka SME Corp @ Kedah ini memberikan manfaat besar kepada peserta dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan perniagaan, memperkukuh daya saing di pasaran digital, serta memperkenalkan teknik pemasaran berasaskan AI yang mampu menjimatkan masa dan kos.

Pendedahan ini membantu usahawan memahami potensi teknologi AI sebagai pemangkin pertumbuhan perniagaan, sekali gus mempersiapkan mereka menghadapi cabaran ekonomi digital masa kini.

Penganjuran ini secara tidak langsung memperkukuh usaha strategik CEDI UUM bersama SME Corp. Kedah-Perlis dalam membangunkan modal insan keusahawanan yang lebih berdaya saing, inovatif dan mampan. – Akmal Ahlami Md Rozai

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button