Campus

IBS anjur Wacana Pengukuhan Akademia dan Majlis Lambaian Kasih sempena persaraan Prof. Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim

Gambar Pusat Pengajian Perniagaan Islam

SINTOK, 10 Ogos 2026: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Wacana Pengukuhan Akademia bertemakan “Memperkasa Ilmu, Menyemai Budi, Mencurah Bakti”, yang diserikan dengan Majlis Lambaian Kasih sempena persaraan Prof. Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim, Profesor di Pusat Pengajian Perniagaan Islam.

Program yang berlangsung di EDC UUM itu menghimpunkan warga akademia, staf IBS serta para jemputan bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau sepanjang 27 tahun berkhidmat di Universiti Utara Malaysia bermula pada tahun 1999 sehingga 7 Ogos 2026.

Wacana tersebut menjadi platform yang bermakna apabila beliau berkongsi pengalaman, falsafah kepimpinan dan pandangan mengenai pembangunan akademia, pemerkasaan budaya ilmu serta kepentingan nilai integriti dalam membentuk generasi ilmuwan masa hadapan.

Perkongsian beliau turut menyentuh cabaran kepimpinan, tanggungjawab sebagai pendidik dan bagaimana ilmu perlu diterjemahkan kepada khidmat bakti yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Majlis ini bukan sahaja menjadi ruang perkongsian ilmu, malah simbol penghargaan terhadap dedikasi beliau yang telah mencurahkan bakti dalam bidang akademik, penyelidikan, pentadbiran universiti dan pembangunan masyarakat sepanjang lebih dua dekad di UUM.

Pada 7 Ogos 2026, Dr. Asmadi menamatkan perkhidmatannya sebagai pensyarah Universiti Utara Malaysia. Namun, persaraan tersebut hanyalah noktah kepada satu amanah sebagai warga akademia, bukan penamat sebuah perjuangan. Beliau akan terus menggalas tanggungjawab sebagai Mufti Pahang, memimpin masyarakat dengan panduan agama, kebijaksanaan serta keteguhan prinsip.

Perjalanan akademik yang panjang, diperkukuhkan dengan pengalaman kepimpinan dan penglibatan aktif dalam pembangunan institusi, telah menjadikan beliau seorang tokoh yang disegani dalam bidang Syariah, kewangan Islam dan pendidikan tinggi.

Dalam ucapan Dekan IBS UUM,  Prof. Dr. Selamah Maamor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg. Prof. Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim atas segala jasa, pengorbanan dan sumbangan beliau sepanjang berkhidmat di UUM.

“Tema ‘Memperkasa Ilmu, Menyemai Budi, Mencurah Bakti’ amat sinonim dengan perjalanan kerjaya Prof. Dato’.

“Beliau bukan sahaja seorang ilmuwan yang unggul, malah seorang pendidik yang sentiasa membimbing dengan hikmah, memimpin dengan teladan dan menyemai nilai-nilai murni dalam setiap amanah yang dipikul,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa legasi Prof. Dato’ tidak hanya terletak pada jawatan yang pernah disandang, tetapi lebih besar daripada itu, iaitu melalui ribuan pelajar yang pernah dididik, rakan akademik yang pernah dibimbing serta budaya kecemerlangan yang berjaya dipupuk sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

“Walaupun Prof. Dato’ menamatkan perkhidmatan sebagai warga akademia UUM, kami yakin sumbangan beliau kepada ummah akan terus berkembang melalui amanah sebagai Mufti Pahang.

“Semoga segala jasa, ilmu dan bakti yang dicurahkan menjadi amal jariah yang berpanjangan serta terus memberi inspirasi kepada generasi akademia akan datang,” katanya.

Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan dan penghormatan kepada seorang tokoh akademia yang telah mengabdikan hampir tiga dekad kehidupannya kepada Universiti Utara Malaysia. – Dr. Nor Syahidah Ishak

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button