Pusat Islam terima tiga aplikasi Islamik hasil inovasi penyelidik UUM
Berita dan gambar Nor Azlinah Zaini
SINTOK, 10 Ogos 2026: Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima satu lagi pengiktirafan apabila diberi kepercayaan sebagai penerima rasmi tiga aplikasi Islamik yang dipatenkan, hasil penyelidikan sekumpulan penyelidik UUM dalam usaha memperkasakan pendigitalan pendidikan dan dakwah berteraskan teknologi.

Majlis Penyerahan Aplikasi Islamik itu menyaksikan Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md. Sabri, menerima tiga aplikasi berasaskan kandungan ilmu Islam yang dibangunkan melalui adaptasi karya terbitan MADAD iaitu e-Musafir Go, Ladys Fiqh dan Hawa.
Aplikasi e-Musafir Go merupakan adaptasi digital daripada buku Easy Musafir yang memudahkan pengguna memahami hukum-hakam ibadah ketika bermusafir secara lebih interaktif dan praktikal, Ladys Fiqh pula dihasilkan daripada buku Fiqh Wanita: Edisi Haid, Mitos & Suci, manakala Hawa merupakan adaptasi digital kepada Modul Klinik Solat Edisi Wanita yang memberi fokus kepada pemantapan ibadah dan kefahaman fiqh khusus buat Muslimah.
Projek penyelidikan tersebut diketuai oleh Prof. Madya Noraziah Che Pa dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) dengan kerjasama Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersilan, Prof. Madya Dr. Ani Munirah Mohamad, Prof. Ts. Dr. Sobihatun Nur Abdul Salam (SMMTC), Prof. Madya Dr. Syamsul Bahrin Zaibon (SCIMPA), Nur Azzah Abu Bakar (SOC) serta Laura Lim Sie Yi.

Mohd Yusnaidi berkata, penerimaan aplikasi berkenaan mencerminkan keyakinan warga akademik terhadap peranan Pusat Islam sebagai peneraju penyampaian ilmu dan dakwah yang responsif terhadap perkembangan teknologi.
“Pendigitalan kandungan Islam bukan sekadar memudahkan akses kepada ilmu, malah menjadi medium dakwah yang lebih dekat dengan generasi digital.
“Pusat Islam komited memastikan inovasi ini dimanfaatkan secara meluas oleh warga universiti dan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Prof. Madya Noraziah menjelaskan bahawa pembangunan aplikasi tersebut merupakan hasil gabungan kepakaran penyelidikan, teknologi digital dan kandungan syariah bagi menterjemahkan bahan ilmiah kepada platform yang lebih mesra pengguna.

Menurutnya, pendekatan itu membuka ruang kepada penyampaian ilmu Islam yang lebih inklusif, mudah dicapai dan relevan dengan keperluan semasa tanpa mengabaikan ketepatan kandungan ilmiah.
Penyerahan tiga aplikasi ini turut memperkukuh sinergi antara penyelidik dan Pusat Islam UUM dalam menjayakan agenda pendigitalan pendidikan serta dakwah, selari dengan aspirasi universiti untuk Menjulang Ilmu, Mengakar Adab melalui inovasi yang memberi manfaat kepada ummah.



