UUM perkukuh jalinan industri bersama Proton melalui Program School Of Hard Knocks
Gambar PROTON
SHAH ALAM, 10 Ogos 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan jaringan strategik universiti–industri menerusi lawatan jalinan kerjasama ke PROTON sebagai sebahagian daripada inisiatif Program School of Hard Knocks (SoHK).

Lawatan tersebut bertujuan memperkenalkan pelaksanaan Program SoHK dengan lebih dekat kepada pihak PROTON serta meneroka ruang kerjasama dalam aspek pembangunan bakat, kebolehpasaran graduan dan kesiapsiagaan pelajar menghadapi keperluan sebenar industri.
Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) UUM, Dr. Fikriyah Abdullah berkata, jalinan kerjasama strategik bersama pihak industri merupakan antara pendekatan penting dalam memastikan pembangunan pelajar sentiasa selari dengan keperluan semasa pasaran pekerjaan.
“Kerjasama bersama industri seperti PROTON membuka ruang kepada pelajar untuk memahami dengan lebih dekat keperluan sebenar majikan, di samping meningkatkan pendedahan mereka terhadap aspek kompetensi, pembangunan bakat dan kesiapsiagaan kerjaya.
“Melalui Program School of Hard Knocks, UUM berharap lebih banyak pihak industri dapat bersama-sama memainkan peranan dalam membangunkan graduan yang bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik, tetapi turut memiliki kemahiran dan kompetensi yang diperlukan oleh industri,” katanya.

Turut serta Penyelaras Program School of Hard Knocks UUM, Dr. Aidanajwa Sabri.
Pihak PROTON pula diwakili oleh Timbalan Ketua Pembelajaran & Pembangunan, Logeswran Ramasamy dan Perolehan Bakat, Nazlynda Jamaluddin.
Dalam sesi perbincangan tersebut, kedua-dua pihak berkongsi pandangan mengenai keperluan industri terhadap bakat graduan serta peluang untuk mewujudkan bentuk kerjasama yang dapat memberi nilai tambah kepada pelajar UUM.
Pihak PROTON turut menyatakan minat untuk meneroka penglibatan dalam Program SoHK, khususnya melalui PROTON Young Talent Programme, yang dilihat mempunyai potensi untuk diselaraskan dengan matlamat SoHK dalam membangunkan kemahiran, kesiapsiagaan kerjaya dan kebolehpasaran pelajar.
Susulan pertemuan tersebut, maklumat berkaitan Program SoHK telah dikongsikan kepada pihak PROTON untuk penelitian dan perbincangan lanjut bagi mengenal pasti bentuk kerjasama yang paling bersesuaian.

Lawatan ini turut membuka ruang kepada kerjasama yang lebih strategik antara UUM dan PROTON, khususnya dalam aspek pembangunan kompetensi, pendedahan industri, pembangunan bakat muda serta peluang kerjaya kepada pelajar dan graduan UUM.
Melalui jaringan strategik bersama organisasi industri seperti PROTON, UUM berharap dapat terus memperkukuh ekosistem kebolehpasaran graduan dan menyediakan pelajar yang lebih bersedia, kompeten serta berdaya saing dalam pasaran pekerjaan. – Dr. Aidanajwa Sabri



