Campus

IBS meterai Memorandum Persefahaman kukuh jalinan kerjasama antarabangsa bersama Ansor Islamic Finance Group, Uzbekistan

Gambar Mohamad Afiq Mohd Junaidi (Pelajar Pelatih STF IBS)

SINTOK, 2 November 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan langkah memperkukuhkan jaringan kerjasama antarabangsa melalui Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Ansor Islamic Finance Group yang diadakan, baru-baru ini.

Pertukaran MoU tersebut disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Prof. Dr. Selamah Maamor, mewakili Naib Canselor UUM, dan Pengerusi Lembaga Pengarah Ansor Islamic Finance Group, Dr. Abdullaev Saydullo, mewakili Ansor Islamic Finance Group.

Dr. Selamah  berkata, kerjasama ini membuka ruang kepada kedua-dua institusi untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bersama dalam bidang latihan, pertukaran akademik dan pembangunan profesional dan penyelidikan khususnya dalam bidang kewangan dan perbankan Islam.

Menurutnya, inisiatif ini seiring dengan hasrat UUM untuk memperkukuh peranan sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang pengurusan dan kewangan Islam.

“Kerjasama ini bukan sahaja memperluas rangkaian antarabangsa UUM, tetapi juga membolehkan perkongsian ilmu dan kepakaran dalam memajukan ekosistem kewangan Islam global,” katanya.

Sementara itu, Dr. Abdullaev Saydullo turut menyatakan penghargaan kepada UUM atas kesediaan untuk menjalin kolaborasi strategik ini.

Majlis ini mencerminkan komitmen UUM untuk terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan strategik di peringkat antarabangsa, sejajar dengan visinya sebagai universiti pengurusan terkemuka yang berdaya saing global.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Ansor Islamic Finance Group, Babamatov Tolib; Pengarah, Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa UUM, Prof. Madya Dr. Arpah Abu Bakar dan penjawat-penjawat IBS. – Prof. Madya Dr. Norazlina Abd Wahab

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button