Campus

ICC dedah penyelidik UUM strategi pemfailan paten

Gambar oleh Mohamad Lutfi Idris

SINTOK, 11 September 2025: Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) melalui program Scale Up Product In Translational Research (SPRINTs) Siri Kedua telah menganjurkan Bengkel Penyediaan Dokumen Paten yang berlangsung dari 9 hingga 11 September 2025 bertempat di EDC, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Bengkel ini dianjurkan dengan objektif utama memberi pendedahan menyeluruh kepada para peserta mengenai proses penyediaan dan pemfailan dokumen paten, termasuk aspek carian (searching), penjanaan idea (ideation), penyediaan draf (drafting), serta semakan dokumen permohonan paten.

Melalui pendedahan ini, diharapkan para penyelidik dapat memahami langkah-langkah strategik dalam melindungi hasil inovasi mereka secara berkesan.

Bengkel ini terbuka kepada seluruh warga UUM selaras dengan hasrat universiti untuk memperkukuh budaya penyelidikan, inovasi, dan pengkomersialan hasil intelektual dalam kalangan penyelidik serta pelajar.

Bengkel ini menampilkan dua pakar industri yang juga merupakan Ejen Paten bertauliah, iaitu Puan Nur Syuhada Mohd Shafawi, Pengarah Eksekutif, dan Encik Mohamed Ikhwan Shahdzul Bakri, Pengarah Urusan Invenxer Sdn. Bhd.

Perkongsian pengalaman mereka yang berasaskan industri memberi panduan praktikal kepada peserta mengenai kepentingan perlindungan paten sebagai langkah strategik dalam usaha pengkomersialan hasil penyelidikan.

Pengarah ICC, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Faizal Omar berkata, perlindungan paten yang disediakan dengan baik mampu memperkukuh daya saing inovasi universiti serta membuka peluang kerjasama strategik di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Komitmen ICC adalah memastikan penyelidik mendapat sokongan lengkap dalam proses ini agar hasil penyelidikan dapat dikomersialkan secara efektif dan memberi manfaat luas kepada masyarakat,” katanya.

Pengendalian bengkel selama tiga hari ini mendapat sambutan hangat daripada peserta yang menunjukkan semangat tinggi dan keazaman untuk memfailkan paten pertama mereka tidak lama lagi. – Khairil Azfar Ahmad Zubir

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button