Ideavista Expo Kubang Pasu platform pitching idea dan konsep acara untuk komuniti dan industri acara tempatan
Gambar STHEM
SINTOK, 4 Januari 2026: Ideavista Expo Kubang Pasu telah dianjurkan sebagai satu platform akademik dan profesional yang memfokuskan kepada pembentangan (pitching) idea serta konsep acara pameran yang bakal direalisasikan pada Fasa 2 Projek SULAM pada semester akan datang.
Program yang berlangsung selama dua hari di Bilik Mesyuarat Andaman, Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) ini menghimpunkan idea-idea strategik berasaskan penyelidikan yang dibangunkan oleh pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM).

Acara ini dianjurkan oleh 77 pelajar kursus GHZTK4123 (Contemporary Issues in Event Management) dengan kerjasama Event Management Research Unit (EMTRAC) sebagai Projek SULAM Fasa 1.
Projek ini dirangka secara berperingkat bagi memastikan setiap idea acara yang dicadangkan bukan sahaja kreatif, malah berdasarkan dapatan kajian lapangan, analisis data dan keperluan sebenar komuniti setempat, khususnya di daerah Kubang Pasu.
Berbeza daripada pameran acara konvensional, Ideavista Expo Kubang Pasu menekankan sesi pitching idea dan konsep acara pameran, di mana para pelajar membentangkan cadangan acara yang berpotensi untuk dilaksanakan pada fasa seterusnya.

Setiap pembentangan dinilai secara kritikal dari segi objektif acara, kumpulan sasaran, impak ekonomi dan sosial, kelestarian, serta kebolehlaksanaan pelaksanaan dalam konteks komuniti setempat. Antara panel-panel yang diundang adalah Suryati Abd Shukor, Wan Fatinah Wan Nasir, Pavithra A/P Dorasamy dan Dr. Norhafiza Md Sharif.
Idea-idea yang dibentangkan turut mengambil kira isu-isu kontemporari dalam pengurusan acara seperti pembangunan mampan, penglibatan komuniti, inovasi dalam pengalaman peserta, serta sokongan kepada pengusaha dan pembekal perkhidmatan acara tempatan. Melalui pendekatan ini, projek SULAM yang dilaksanakan bukan sahaja berfungsi sebagai tugasan akademik, malah menjadi platform penyelesaian masalah sebenar kepada komuniti.
Panel, Suryati berkata, penganjuran acara pameran pada Fasa 2 berpotensi untuk diperkasakan dengan penglibatan mini karnival produk dan perkhidmatan acara yang telah dikenal pasti hasil daripada proses pengumpulan data penyelidikan.

Menurutnya, pendekatan ini dilihat mampu menjadikan acara lebih interaktif, menarik serta memberi nilai tambah kepada pengunjung.
Katanya, hasil utama penyelidikan Projek SULAM fasa 1 ini ialah pembangunan e-direktori pengusaha dan pembekal perkhidmatan acara di Kubang Pasu. E-direktori tersebut akan menghimpunkan maklumat berkaitan penyedia perkhidmatan seperti katering, dekorasi, sistem audio visual, sewaan peralatan acara dan khidmat sokongan lain.
“E-direktori ini akan membantu pengusaha tempatan untuk lebih dikenali dan memperluaskan jaringan perniagaan mereka, di samping memudahkan komuniti mendapatkan perkhidmatan acara secara lebih tersusun dan mudah diakses.

“Inisiatif ini juga dijangka menyokong perkembangan ekonomi setempat dengan meningkatkan keterlihatan dan kebolehpasaran pengusaha kecil dan sederhana dalam industri acara,” katanya.
Sementara itu, Projek SULAM Fasa 2 yang dirancang pada semester akan datang dijangka memberi impak yang lebih besar kepada komuniti setempat. Antara fokus utama fasa tersebut ialah pelaksanaan acara sebenar berdasarkan idea yang terpilih, penglibatan langsung komuniti sebagai rakan strategik, serta pemindahan ilmu dan kemahiran pengurusan acara kepada penduduk setempat.
Pelaksanaan Fasa 2 juga dijangka dapat memperkasa komuniti, membuka peluang ekonomi baharu, menggalakkan kolaborasi antara pengusaha tempatan dan institusi pengajian tinggi, serta menyokong pembangunan ekosistem industri acara di peringkat daerah. Pada masa yang sama, pelajar berpeluang memperoleh pengalaman pembelajaran sebenar melalui penglibatan langsung dalam perancangan, pengurusan dan penilaian acara sebenar.

Penganjuran Ideavista Expo, Kubang Pasu membuktikan komitmen Universiti Utara Malaysia, khususnya melalui kursus GHZTK4123 dan kerjasama EMTRAC, dalam menyokong pembelajaran berasaskan penyelidikan dan khidmat komuniti.
Inisiatif ini selari dengan aspirasi pendidikan tinggi negara untuk melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan industri serta kesejahteraan masyarakat setempat. – Dr. Norwani Mohd Nazari



