Campus

IFEX @ UUM 2025 lambang komitmen UUM terhadap agenda pengantarabangsaan

Gambar Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 27 Oktober 2025: Bagi memperkukuhkan semangat persahabatan akademik yang melangkaui batas geografi, Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Kerjasama Hal Ehwal Antarabangsa (CIAC) telah menganjurkan International Faculty Exchange Week (IFEX @ UUM 2025).

Majlis perasmian program berprestij ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani, yang hadir mewakili Naib Canselor.

Dalam teks ucapan Naib Canselor berkata bahawa IFEX bukan sekadar satu inisiatif akademik, tetapi merupakan lambang nyata komitmen UUM terhadap agenda pengantarabangsaan universiti.

Menurutnya, penganjuran IFEX bertujuan memperkukuhkan hubungan akademik antara UUM dan institusi rakan kongsi di pelbagai negara menerusi aktiviti pengajaran, penyelidikan serta penglibatan intelektual.

Selain itu, katanya, program ini juga berperanan meningkatkan kefahaman silang budaya, membina jaringan ilmiah yang berpanjangan dalam kalangan sarjana antarabangsa, serta memperluaskan usaha pengantarabangsaan melalui pendedahan global kepada warga universiti di Sintok.

“Melalui IFEX, dunia dibawa ke UUM. Ia mewujudkan suasana pembelajaran di mana pelajar dan ahli akademik universiti dapat berinteraksi serta bekerjasama secara langsung dengan pakar-pakar antarabangsa, tanpa perlu meninggalkan Malaysia,” katanya.

Dr. Mohd Foad berkata, sejak mula diperkenalkan pada tahun 2013, IFEX telah melalui perkembangan pesat dengan bermula sebagai program kecil dengan kehadiran tujuh profesor pelawat dari Indonesia bagi memperkukuh hubungan dua hala, kini ia telah menjadi sebuah platform antarabangsa yang kukuh.

Menurutnya, tahun ini, UUM berbesar hati meraikan edisi ketiga dan paling besar IFEX dengan penyertaan 22 profesor pelawat dan pensyarah dari lapan negara di Asia dan Eropah. Mereka akan digandingkan dengan tenaga akademik UUM daripada 11 pusat pengajian yang terlibat.

Dalam kesempatan itu, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada semua profesor pelawat yang memilih UUM sebagai rumah akademik mereka sepanjang minggu program berlangsung.

Katanya, kepelbagaian pengetahuan, pandangan serta perspektif budaya yang dibawa amat bernilai dan memberikan impak besar kepada universiti serta pelajar.

Sementara itu, Pengarah CIAC, Prof. Madya Dr. Arpah Abu Bakar berkata, IFEX mula diperkenalkan pada 2013 dengan kehadiran tujuh profesor pelawat dari Indonesia.

Menurutnya, langkah pertama itu menunjukkan keyakinan UUM bahawa kerjasama bermula dengan kepercayaan dan visi yang dikongsi bersama.

Pada 2024, IFEX berkembang menjadi platform bertaraf antarabangsa dengan kehadiran 13 profesor pelawat dari Indonesia, Vietnam, Pakistan, Poland, dan Lithuania.

Pada tahun ini, CIAC telah membuka permohonan dari 20 Mei hingga 20 Jun, dan menerima 125 permohonan daripada 19 negara.

“Sepanjang minggu ini, profesor pelawat akan terlibat dalam sesi pengajaran, perbincangan penyelidikan, dan aktiviti kebudayaan bersama staf dan pelajar UUM.

“Agenda pengantarabangsaan UUM bertujuan memupuk persekitaran akademik berfikiran global, meningkatkan kecekapan antara budaya, dan mewujudkan peluang kerjasama yang memberi manfaat kepada rakan-rakan di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Program ini turut mendapat kerjasama Jabatan Sumber Manusia.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button