Campus

IHM anjur bengkel pengukuhan sistem jaminan halal


Berita dan gambar oleh Nurul Syahidah Muhamad Puzi

SINTOK, 21–22 Oktober 2025 – Institut Pengurusan Halal (IHM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Pengukuhan Sistem Jaminan Halal bertempat di Bilik Latihan FWD.

Bengkel selama dua hari ini bertujuan memperkukuh kefahaman dan kemahiran peserta terhadap pelaksanaan serta pemantapan keperluan Sistem Jaminan Halal di peringkat industri.

Program ini disertai oleh felo Institut Pengurusan Halal serta staf pentadbiran dengan objektif utama memastikan pelaksanaan sistem halal diurus secara berkesan dan selaras dengan piawaian halal Malaysia.

Menariknya, bengkel ini dilaksanakan sempena tawaran Dana Pembangunan SCoE yang ditawarkan oleh Research Management Centre (RMC), UUM. Dana tersebut bertujuan meningkatkan kemahiran dan kompetensi felo selaras dengan matlamat SCoE serta menyediakan sokongan kewangan bagi program latihan berstruktur, bengkel, persidangan serta inisiatif pembangunan profesional lain.

Bengkel ini menampilkan Ts. Azimi Basri, Pengurus Bahagian Keselamatan Makanan, Legoland Malaysia, sebagai penceramah jemputan.

Beliau berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam pelaksanaan serta pengurusan Sistem Jaminan Halal di sektor industri, khususnya dalam memastikan pematuhan terhadap standard keselamatan makanan dan integriti halal.

Melalui penganjuran bengkel ini, para peserta bukan sahaja memperoleh pendedahan praktikal mengenai pengurusan dokumen dan audit dalaman, tetapi turut menambah pengetahuan dalam memperkukuh sistem halal yang lebih efisien dan mampan.

Inisiatif ini juga memperkukuh peranan Institut Pengurusan Halal sebagai penyedia latihan dalam pembangunan ilmu kepada industri halal.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button