IHM jayakan latihan Auditor Halal Dalaman sesi November 2025
Berita dan gambar Nurul Syahidah Muhamad Puzi
SINTOK, 25 November 2025: Institut Pengurusan Halal (IHM), Pusat Pengajian Perniagaan Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Latihan Audit Halal Dalaman bagi sesi November 2025 yang berlangsung selama lapan hari, bermula pada 14 hingga 21 November lalu.
Pengarah IHM, Dr. Nor Aina Mhd Khotib berkata, latihan ini melibatkan penyertaan seramai 18 peserta terdiri daripada pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Halal (BHalal), staf akademik Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dan wakil dari industri yang berminat memperkukuhkan pengetahuan serta kemahiran dalam pelaksanaan audit alal dalaman selaras dengan standard semasa dan kehendak piawaian halal Malaysia.

Sepanjang latihan, peserta mengikuti sesi pembelajaran teori dan praktikal yang merangkumi modul dalam penyelarasan mesyuarat pra-audit, penyediaan alat audit, penyelarasan mesyuarat pembukaan, menjalankan audit dokumentasi, audit lapangan, menyediakan laporan penemuan audit, mesyuarat penutup audit dan audit halal susulan.
Peserta, Dr. Norazilawati Md Dahlal selaku Pensyarah IBS berkata, ilmu yang dapat dalam latihan audit halal dalaman ini perlu dikongsi kepada rakan juga, biar lebih ramai pelajar dapat manfaatkan ilmu yang telah dikongsi oleh jurulatih hebat.
“Program ini diharap dapat melahirkan lebih ramai auditor halal dalaman yang kompeten dan berdaya saing serta menyokong usaha negara memperkukuh ekosistem halal melalui pematuhan standard yang lebih sistematik dan profesional,” katanya.

IHM merakamkan penghargaan kepada semua peserta atas komitmen dan penglibatan aktif sepanjang latihan, serta berharap ilmu yang diperoleh dapat diaplikasikan bagi meningkatkan integriti pengurusan halal.
Pengarah Keselamatan Makanan dan Minuman, Legoland Resort, Ts. Mohd Azimi Mohd Basri yang turut memimpin latihan selama lapan hari di UUM turut menggalakkan pelajar untuk lebih peka dengan arus perkembangan industri halal di Malaysia lebih-lebih lagi peserta yang hadir bakal menjadi pelapis utama generasi kursus pengajian pengurusan halal di IBS, UUM yang ke industri bagi menjalankan Work-Based Learning (WBL) di industri secara mod 3u1i.



