Campus

IHM Perkukuh Jaringan dan Rundingan Industri Halal dengan Menyertai Karnival Usahawan Kedah 2025

Berita dan gambar oleh Nurul Syahidah Muhamad Puzi

SUNGAI PETANI, 16–19 Oktober 2025 – Institut Pengurusan Halal (IHM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Karnival Usahawan Kedah 2025 yang berlangsung di perkarangan tempat letak kereta Amanjaya Mall, Sungai Petani. Penyertaan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan IHM dalam memperkukuh jaringan industri halal serta memperluas khidmat perundingan halal kepada usahawan tempatan.

Melalui pembukaan reruai pameran tersebut, IHM berpeluang mendekati perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berminat mendapatkan bimbingan serta maklumat berkaitan pensijilan halal. Sepanjang empat hari penganjuran, IHM turut memberikan penjelasan kepada para usahawan yang hadir ke reruai IHM untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai proses permohonan pensijilan halal, penyediaan dokumen serta keperluan piawaian halal yang ditetapkan oleh pihak berautoriti.

Selain itu, inisiatif ini turut memberi ruang kepada IHM untuk memperkenalkan kepakaran dan peranan mereka sebagai pusat rujukan serta perunding halal universiti, seiring dengan usaha memperkasa pembangunan usahawan halal di negeri Kedah.

Penyertaan IHM dalam karnival ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam menyokong agenda pemerkasaan ekonomi halal serta membantu usahawan tempatan melangkah ke pasaran halal yang lebih luas dan berdaya saing.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button