Inasis Bank Rakyat beraya sambil flag-off delegasi Mobiliti Tidak Berkredit ke Universiti Kyoto
Gambar Syed Muhammad Syahmi Mohamed Nazir
SINTOK, 13 April 2025: Suasana penuh kemeriahan dan nostalgia menyelubungi Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Inapan Siswa (Inasis) Bank Rakyat, Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.
Bertemakan “Nostalgia Hari Raya”, majlis ini berjaya menarik kehadiran ratusan mahasiswa dan warga universiti yang hadir dalam pakaian tradisional, menghidupkan kembali kenangan hari raya zaman dahulu dan pada masa sama diadakan majlis penyerahan bendera (flag-off) oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan kepada delegasi Mobiliti Tidak Berkredit ke Kyoto, Jepun.
Seramai 19 mahasiswa dan dua pegawai pengiring diraikan dalam satu simbolik penyerahan bendera oleh wakil pengurusan universiti, menandakan permulaan perjalanan mereka yang akan bermula dari 16 hingga 24 April ini.
Pengetua INASIS Bank Rakyat, Dr. Mohd Fitri Yusoff berkata, delegasi ini dijadualkan mengadakan lawatan akademik dan kebudayaan di Universiti Kyoto serta meneroka keunikan budaya dan kehidupan masyarakat sekitar bandar raya Kyoto.
Menurutnya, program ini dijangka dapat membuka ruang kolaborasi antarabangsa serta memperkasa pemahaman pelajar terhadap budaya global.
“Penganjuran dua acara serentak ini membuktikan komitmen UUM dalam menyemai semangat perpaduan, kekeluargaan dan keterbukaan kepada dunia luar dalam kalangan warganya.
“Majlis hari ini bukan sekadar meraikan lebaran, tetapi juga menjadi platform mengukuhkan hubungan antara pelajar dan pihak pengurusan serta menyuntik semangat kepada pelajar yang bakal mewakili universiti ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Pelbagai juadah tradisional seperti nasi beriani, kuih-muih, sate, serta air koktel disajikan, menambah kemeriahan suasana. Turut dimeriahkan dengan penampilan khas artis iaitu Daqmie yang juga merupakan pelajar UUM.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Zainudin Omar; Pengurus Bank Rakyat Cawangan Kuala Nerang, Megat Saiful Atras Megat Hamari serta Majlis Pengetua Inasis. – Munirah Mat Din