Campus

Inasis Bank Rakyat perkasa diplomasi akademik rentas sempadan di Ton Duc Thang University, Vietnam

Gambar oleh Teoh Kah Yee

HO CHI MINH, 5 Ogos 2025: Delegasi mobiliti tidak berkredit INASIS Bank Rakyat telah mengadakan kunjungan rasmi ke Ton Duc Thang University (TDTU) dalam sebuah lawatan penanda aras yang membuka peluang kerjasama akademik dan pertukaran ilmu antara kedua-dua institusi pengajian tinggi terkemuka ini.

Program ini melibatkan seramai 28 pelajar INASIS Bank Rakyat yang disambut mesra oleh warga TDTU. Pengisian program merangkumi sesi perkongsian pengurusan institusi, lawatan sekitar kampus, dan interaksi bersama mahasiswa TDTU.

Menariknya, para peserta turut berpeluang menyaksikan demonstrasi penyediaan kopi tempatan oleh pelajar TDTU, yang bukan sahaja memperkenalkan cita rasa unik Vietnam, malah menonjolkan peranan kopi sebagai pemangkin industri pelancongan dan medium interaksi sosial-budaya.

Timbalan Pengarah Pusat Antarabangsa TDTU, Ms Nguyen Thi Dieu, berkata lawatan ini merupakan usaha strategik untuk memperkukuh jaringan akademik, selain membuka ruang kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan, dan pembangunan modal insan.

“Dengan kepakaran TDTU dalam bidang teknologi dan kejuruteraan, serta kekuatan delegasi INASIS Bank Rakyat dari UUM dalam bidang pengurusan, sinergi ini mampu melahirkan ekosistem pendidikan tinggi yang lebih dinamik,” katanya.

Pertemuan ini diharap menjadi titik permulaan kepada kolaborasi jangka panjang antara UUM dan TDTU yang merangkumi pemindahan teknologi, penyelidikan bersama, serta pertukaran pelajar demi membentuk graduan yang berdaya saing di peringkat global. – Nu Hayati binti Md Sharif.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button