Inasis Bank Rakyat teraju misi Madani: Semarak ukhuwah bersama komuniti Islam di Vietnam
Gambar Teoh Kah Yee
HO CHI MINH CITY, 24 Ogos 2025: Sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa tanggungjawab sosial dan mempererat hubungan antara negara, Biro Integrasi Komuniti dan Antarabangsa, Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa & Residen Siswa (JKPSRS) INASIS Bank Rakyat telah menganjurkan program khidmat masyarakat di Masjid Jamiul Anwar, Saigon, Vietnam.
Program ini melibatkan aktiviti gotong-royong membersihkan ruang solat dan kawasan sekitar masjid dengan tujuan membantu kelancaran operasi masjid, selain menyemai nilai tanggungjawab sosial dalam kalangan peserta.
Aktiviti tersebut membuka ruang kepada pemahaman lebih mendalam mengenai peranan masjid sebagai pusat komuniti dan simbol perpaduan umat Islam di negara minoriti Muslim seperti Vietnam.
Selain itu, peserta turut berpeluang menjalinkan interaksi bermakna bersama hampir 50 orang kanak-kanak tempatan melalui sesi ramah mesra serta aktiviti perkongsian ilmu dalam bahasa Inggeris.
Inisiatif ini bukan sahaja merapatkan ukhuwah sesama umat Islam, bahkan menyemarakkan semangat kesukarelawanan dan keprihatinan sejagat dalam kalangan mahasiswa UUM.
Majlis turut diserikan dengan sesi penyampaian cenderamata kepada wakil kariah masjid, Ustaz Aimin, sebagai simbol penghargaan atas sambutan mesra dan kerjasama erat pihak masjid. Sesi bergambar beramai-ramai turut diadakan sebagai kenangan berharga buat semua yang terlibat.
Pengarah Program, Muhammad Aiman Danish Kamarulzaman berkata, inisiatif ini merupakan langkah proaktif dalam memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti Islam luar negara, khususnya dari segi kemasyarakatan dan pembangunan sahsiah mahasiswa.
“Program sebegini bukan sahaja memberi impak positif kepada komuniti setempat, malah turut menyemai nilai murni dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar UUM,” katanya.
Penganjuran program ini sekali gus membuktikan komitmen UUM dalam melahirkan mahasiswa berjiwa global yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah prihatin terhadap kesejahteraan sejagat dan kepelbagaian budaya dunia. – Nu Hayati Md Sharif