Campus

Inisiatif KPT beri pendedahan dan maklumat kepada pemohon di Karnival Jom Masuk Universiti

Gambar Abdul Muiz Basyir Mohamad

SINTOK, 6 April 2026: Sejak 29 Januari 2026, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menggerakkan siri jelajah ke 10 zon di Malaysia bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai maklumat kemasukan ke IPT yang dinamakan sebagai “Karnival Jom Masuk Universiti 2026” (JMU).

Siri jelajah tahun ini bertemakan “DreamX: Inspiring Your Next Step” antara lain turut bertujuan menggalakkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi, Asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma atau setaraf untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Acara perasmian JMU bagi zon utara (Perak Utara, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis) dijadual berlangsung pada 11 April ini di Universiti Utara Malaysia (UUM) selaku tuan rumah oleh Menteri KPT, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

UUM dipilih selaku tuan rumah Karnival Jom Masuk Universiti 2026 bagi zon utara mulai 11 hingga 12 April yang menjadi platform lepasan sekolah dan ibu bapa mendapatkan maklumat secara terus mengenai peluang melanjutkan pengajian di IPT.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Akademik, Azian Nafiah berkata, setakat ini sebanyak 74 sekolah dari zon utara telah mengesahkan kehadiran ke karnival JMU dan dijangka 15,000 pelajar akan hadir untuk mendapatkan pengalaman, pendedahan dan maklumat tentang kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi.

Sementara itu, 66 pempamer daripada Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti (KK), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dan MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT) akan membuka reruai masing-masing bagi memudahkan pengunjung mendapatkan maklumat.

“Ini adalah inisiatif bersepadu KPT bagi membantu menyalurkan maklumat dengan berkesan kepada lepasan SPM, STPM dan kelayakan lain yang setaraf menerusi pelbagai kemudahan dan aktiviti interaktif sesuai dengan peringkat usia golongan sasaran.

“Diharapkan platform ini dapat membantu pelajar membuat keputusan lebih jelas mengenai laluan pendidikan tinggi mereka, sekali gus melahirkan graduan yang berilmu, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Pelbagai aktiviti menarik ditawarkan sepanjang program seperti pameran, sesi konsultasi UPUOnline, konsultasi penajaan, biasiswa, pinjaman dan bantuan kewangan pendidikan tinggi, aktiviti terjah reruai IPT, cabutan bertuah, lawatan kampus, persembahan pelajar, aktiviti bersama alumni, ruang interaktif, aktiviti keusahawanan, penstriman langsung media sosial dan banyak lagi.

Ini mencerminkan komitmen berterusan KPT dan IPT dalam memperluaskan akses maklumat pendidikan tinggi secara inklusif kepada masyarakat. – Khairul Anuar Abdul Malik

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button