Campus

Inovasi ciptaan penyelidik UUM menyerlah dalam pitching inovasi sempena FOI @ Kedah 2025

Gambar Pusat Inovasi dan Pengkomersialan

SINTOK, 13 Oktober 2025: Pitching Inovasi bersempena Festival of Idea (FOI) @ Kedah 2025 telah berlangsung dengan jayanya sebagai salah satu modul utama di bawah Program Dynamic Digital AXcelerator [Dy/Dx] 2025, anjuran Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Program Dy/Dx yang berlangsung mulai 22 September hingga 18 Disember ini merupakan inisiatif strategik ICC dalam melahirkan lebih ramai inovator dan penyelidik UUM yang berpotensi mengkomersialkan hasil penyelidikan mereka.

Pengarah ICC, Prof. Ts. Dr. Mohd Faizal Omar berkata, penganjuran program ini merupakan manifestasi komitmen ICC dalam memperkukuh budaya inovasi di UUM serta mempercepatkan proses pengkomersialan hasil penyelidikan universiti.

“Program Dy/Dx menjadi landasan penting bagi melahirkan lebih ramai inovator yang bukan sahaja berdaya cipta, tetapi juga berdaya niaga.

“Melalui pendekatan bimbingan industri, peserta dapat menterjemahkan idea kepada produk dan perkhidmatan yang berpotensi dikomersialkan, sekali gus menyokong matlamat UUM ke arah universiti berteraskan inovasi dan keusahawanan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta serta panel penilai yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

Program ini merangkumi enam modul utama yang memberi tumpuan kepada latihan inovasi, pembangunan prototaip digital, bimbingan pakar industri serta sesi penilaian dan pembentangan akhir.

Sebanyak 14 kumpulan terdiri daripada staf akademik dan pelajar telah mengambil bahagian dalam sesi pitching tersebut. Setiap kumpulan telah menjalani latihan intensif serta bimbingan mentor industri bagi memperkukuh potensi pengkomersialan idea dan prototaip mereka.

Penilaian telah dijalankan oleh panel juri yang berpengalaman luas dalam bidang inovasi, penyelidikan dan industri yang dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama iaitu kreativiti, kebolehpasaran, impak, serta kejelasan pembentangan.

Lima idea terbaik telah dinobatkan sebagai pemenang dalam Pitching Inovasi Dy/Dx 2025 di mana tempat pertama dimenangi oleh Dr. Nurul Syazana Hishamuddin dengan projek bertajuk Syift: Tourism and Hospitality Gig Marketplace, Dr. Nazmin Abdullah meraih tempat kedua melalui inovasi H2GROW Kit: Inklusif, Digital, dan Mampan, diikuti tempat ketiga dimenangi oleh Prof. Madya Dr. Manvender Kaur A/P Sarjit Singh dengan projek Corpus Assisted Teaching (CAT) Framework – Revolutionizing English Language Education. Seterusnya, Prof. Madya Dr. Muhamad Ali Imran Kamarudin meraih tempat keempat dengan projek Pembangunan Prototaip Realiti Maya (VR) “Educational Batik” dan tempat kelima dimenangi oleh Prof. Madya Dr. Norliza Kushairi menerusi inovasi Queshairy Bukhary Teacher Scholar Scanner.

Program Dy/Dx 2025 diharap dapat memperkukuh ekosistem inovasi universiti dan menyumbang kepada agenda UUM sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka yang mendokong pembangunan lestari melalui inovasi dan pengkomersialan. – Nur Azhanie Mohd Kamil

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button