IPIZ santuni komuniti PUSBA melalui program kerohanian menyambut ramadan
Berita dan gambar oleh Azimah Ahmad
SUNGAI PETANI, 31 Januari 2026: Susulan penganjuran Bengkel Pemerkasaan Pasukan dan Pelan Strategik IPIZ bersama LZNK 2026, para peserta bengkel telah melaksanakan Program Komuniti bersama Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (PUSBA) pada hari ketiga program sebagai sebahagian daripada inisiatif pemerkasaan jaringan komuniti.

Ketibaan delegasi IPIZ dan LZNK di PUSBA disambut dengan ucapan aluan daripada wakil PUSBA sebelum program diteruskan dengan ceramah ringkas yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Nizho Abdul Rahman, Felo Bersekutu IPIZ.
Ceramah bertajuk persiapan diri menghadapi bulan Ramadan itu menekankan kepentingan memperkukuh amalan rohani dan meningkatkan kualiti ibadah sebagai persediaan menyambut bulan yang penuh keberkatan.
Prof. Madya Dr. Mohd Nizho Abdul Rahman turut mengingatkan para hadirin tentang besarnya ganjaran dan rahmat Allah bagi mereka yang memanfaatkan bulan Ramadan dengan sebaiknya.
“Ramadan adalah medan latihan terbaik untuk membentuk disiplin diri, memperbanyakkan amal kebajikan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT,” jelas beliau dalam ucapannya.

Program diteruskan dengan sesi penyampaian cenderahati kepada wakil PUSBA dan penceramah sebagai tanda penghargaan, diikuti sesi bergambar kenangan sebelum majlis bersurai.
Pengarah IPIZ, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Majid, berkata penglibatan IPIZ dalam program komuniti seperti ini mencerminkan komitmen IPIZ dalam mengimbangi kecemerlangan akademik dengan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
“Kerjasama ini membuka ruang sinergi yang lebih luas antara IPIZ dan institusi komuniti dalam memperkasa pembangunan ummah secara holistik,” katanya.
Program ini diharapkan dapat menjadi asas kepada kerjasama berterusan antara IPIZ, LZNK dan PUSBA dalam usaha menyebarluaskan manfaat ilmu, penyelidikan dan khidmat bakti kepada masyarakat.



