ISS 2025 memacu jiwa adaptif dan pemikiran fleksibel pendidikan tinggi
Berita dan gambar oleh Nik Mohd Baidzani Haddad Ibrahim
ALOR SETAR, 14 Oktober 2025: 9th Inspirational Scholar Symposium 2025(ISS 2025) yang berlangsung di RAIA Hotel, Alor Setar dari 14 hingga 16 Oktober 2025 berjaya menghimpunkan 70 pembentang dan peserta daripada pelbagai institusi pengajian tinggi seluruh negara.
Program ino dirasmikan oleh Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang mewakili Naib Canselor UUM, simposium ini berteraskan tema “FlexEd 2025: Empowering Adaptive Talents for Lifelong Success”, yang menekankan pendidikan fleksibel sebagai asas kepada pembangunan bakat adaptif dan pembelajaran sepanjang hayat.
Dalam ucapan perasmiannya, Prof. Dr. Mohd Azizuddin menegaskan bahawa pendidikan tinggi perlu terus berevolusi agar kekal relevan dengan perubahan global dan teknologi. Beliau menyatakan bahawa Flexible Education (FlexEd) bukan hanya tentang fleksibiliti masa atau tempat, bahkan juga tentang fleksibiliti minda, pedagogi dan penilaian dalam mendidik generasi yang tangkas dan berdaya cipta. “Fleksibiliti ialah keupayaan untuk menyesuaikan diri tanpa kehilangan arah. Di sinilah bakat adaptif terbentuk,” ujarnya.
Sementara itu, Prof. Dr. Siti Noor Ismail, Pengarah Pusat Pengajaran dan Pembelajaran Universiti (UTLC), dalam ucapan aluannya menekankan bahawa pelaksanaan konsep stackable degree dan microlearning menjadi antara teras utama dalam pendidikan fleksibel.
Beliau menjelaskan bahawa pendekatan modular membuka peluang kepada pelajar dan tenaga kerja untuk mengatur laluan pembelajaran mereka sendiri secara berperingkat, selaras dengan keperluan pasaran serta aspirasi pendidikan sepanjang hayat.
ISS 2025 menampilkan 3 orang pengucaptama yang dijemput bagi memaknai simposium dengan wacana bernas dan berimpak tinggi. Prof. Madya Dr. Azidah Abu Ziden, Pengarah Bahagian Kecemerlangan Akademik, Jabatan Pendidikan Tinggi, melalui ucaptama bertajuk “Flexibility as a Mindset: Inspiring Change, Empowering Learners”, menekankan perubahan sikap dan minda pendidik sebagai asas kepada transformasi pendidikan.
Dato’ Prof. Dr. Noor Azizi Ismail dari Universiti Malaysia Kelantan pula membincangkan peranan kepimpinan akademik dalam ucaptamanya “Beyond The Buzzwords – Rethinking Leadership in Teaching and Learning”, menegaskan bahawa inovasi dalam pendidikan bermula dengan kepimpinan yang autentik dan berani berfikir di luar norma.
Dr. Chris Kossen dari University of Southern Queensland berkongsi tentang microlearning yang menjadi asas kepada micro-credentials, Open Distance Learning (ODL), Self-Instructional Materials (SIM) ke arah stackable degree. Di atas sambutan menggalakkan, Dr. Chris akan mengadakan sesi khas berkenaan micro-learning pada 4 November di UTLC.
Simposium ini turut menampilkan bengkel interaktif oleh Dr. Idyawati Hussein bertajuk “Design Thinking for Value Creation in Higher Education” yang memberi ruang kepada peserta untuk memperkasa teknik empati dan visual dalam pengajaran dan penyelidikan masing-masing.
Lebih 50 kertas kerja persidangan diterima untuk dibentang dan dibahaskan sepanjangan ISS 2025 ini berlangsung. Kertas-kertas kerja yang dibentangkan merangkumi pelbagai sub-topik yang membawa mesej penting tentang keperluan mendesak untuk membina sistem pendidikan yang fleksibel, responsif dan berupaya melahirkan modal insan yang adaptif serta bersedia menghadapi cabaran dunia yang sentiasa berubah.
Turut diadakan, Pertandingan Poster yang menjadi platform kepada para pensyarah dan penyelidik muda untuk mempersembahkan inovasi dan amalan terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran. Pertandingan ini bukan sahaja mencungkil kreativiti peserta, tetapi juga memupuk budaya perkongsian ilmu serta refleksi terhadap keberkesanan strategi pendidikan yang dilaksanakan di institusi masing-masing.
Secara keseluruhan, 9th Inspirational Scholar Symposium (ISS 2025) bukan sekadar wadah perkongsian ilmu, tetapi juga gerakan ke arah memperkasa pendidikan fleksibel, kepimpinan akademik dan inovasi pengajaran. Penganjuran ini memperkukuh komitmen universiti terhadap aspirasi FlexEd 2025 dalam melahirkan graduan adaptif, berdaya cipta dan berfikiran global.