Kampus Tour UUM tingkatkan pengalaman pelajar antarabangsa
SINTOK, Isnin, 23 April 2025: Sebagai sebahagian daripada pengisian program Empower Mobility Program 2025: Bridging Minds Across Borders, satu sesi Kampus Tour UUM telah diadakan bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar antarabangsa mengenai persekitaran serta kemudahan yang terdapat di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Lawatan ini terdiri daripada dua orang pensyarah dan 10 orang pelajar University of Santo Tomas (UST), Filipina dan 6 orang pelajar dari High National School of Statistics and Applied Economy (ENSSEA), Algeria.
Kunjungan ini dimulakan dengan ke Anjung Tamu, iaitu pusat informasi rasmi bagi pelawat dan warga kampus.
Di sini, para peserta diberikan taklimat ringkas mengenai sejarah penubuhan UUM, struktur pentadbiran universiti, serta pelbagai program akademik yang ditawarkan. Para pelajar juga berpeluang melihat ruang pameran dan bergambar kenangan di perkarangan Anjung Tamu.
Seterusnya, rombongan meneruskan lawatan ke Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), perpustakaan utama UUM yang juga merupakan salah satu perpustakaan akademik terbesar di Malaysia.
Para pelajar kelihatan teruja dengan kemudahan digital, bilik bacaan moden, serta suasana pembelajaran yang kondusif yang ditawarkan oleh perpustakaan ini.
Mereka turut dibawa melawat ke ruangan koleksi khas, e-learning zone, dan galeri pameran yang memaparkan khazanah ilmu dan sejarah UUM.
Program Kampus Tour ini bukan sahaja membantu pelajar antarabangsa mengenali UUM dengan lebih dekat, malah memperkukuh hubungan mesra antara pelajar tempatan dan antarabangsa melalui interaksi santai sepanjang lawatan.
Ia turut mencerminkan komitmen UUM dalam menyokong agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi. – Noorazlia Hamid