Campus

Kekuatan negara tidak bergantung kepada kekayaan, tetapi kualiti manusia – Tengku Mahaleel

Gambar oleh Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 11 November 2025: Kualiti manusia yang berilmu, berintegriti, dan berdisiplin merupakan asas utama kekuatan sesebuah negara, bukan semata-mata bergantung kepada kekayaan material.

Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Yang Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Paduka (Dr.) Mahaleel Tengku Ariff, berkata demikian ketika menyampaikan ucapan ketika Majlis Konvokesyen UUM Ke-38 Sesi Keempat di Dewan Mu’adzam Shah, hari ini.

“Yang membina negara bukanlah wang atau bahan, tetapi manusia. Negara yang membangunkan rakyatnya dengan integriti, kecerdikan, dan ilmu akan menang dalam persaingan dunia,” katanya.

Seramai 695 graduan daripada pelbagai program diraikan atas kejayaan menamatkan pengajian masing-masing dalam sesi berkenaan, yang turut menyaksikan penyampaian ijazah serta Anugerah Kecemerlangan Tengku Mahaleel kepada tiga graduan dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM).

Pro-Canselor menyifatkan majlis konvokesyen sebagai “Hari kemerdekaan graduan” kerana pada detik itu mereka bebas menentukan haluan dan masa depan masing-masing selepas menempuh perjalanan panjang menimba ilmu.

Ucapan beliau turut disulami pengalaman peribadi ketika berkhidmat bersama Nestlé, Shell, dan Proton, yang menjadi asas penting dalam membentuk kepimpinan serta kebijaksanaan beliau.

Beliau mengimbas kembali cabaran ketika menerajui Proton, apabila diarahkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, untuk menghasilkan kereta nasional yang direka sepenuhnya oleh rakyat Malaysia.

“Walaupun kami tidak memiliki kepakaran penuh, dengan semangat ‘Malaysia Boleh’, kami berjaya menghasilkan Proton Waja dan enjin CamPro dalam masa tiga tahun. Ia membuktikan kemampuan rakyat Malaysia setanding negara maju seperti Jepun, Korea, dan Jerman,” katanya.

Beliau menzahirkan rasa bangga atas pencapaian UUM yang berjaya melahirkan lebih 6,000 graduan pada tahun ini.

“Tahniah dan syabas kepada semua atas kejayaan yang membanggakan ini,” katanya.

Beliau turut menasihati graduan agar sentiasa menghargai pengorbanan ibu bapa dan para pendidik yang telah membimbing mereka hingga berjaya.

“Berterima kasihlah kepada ibu bapa dan para pensyarah yang telah memberi bimbingan dan dorongan tanpa henti. Dunia hari ini sangat berbeza daripada sepuluh tahun lalu; untuk berjaya, anda perlu berdisiplin, berintegriti, dan sentiasa bersedia belajar perkara baharu,” ujarnya lagi.

Beliau menyeru graduan agar menguasai pelbagai bidang ilmu, bersikap fleksibel, dan berani menghadapi perubahan pesat dunia pekerjaan.

“Organisasi masa kini mencari individu yang berintegriti, bijak, berdisiplin, dan mampu bersaing dalam dunia yang sangat dinamik. Kuasai pelbagai disiplin ilmu dan terus berfikir secara terbuka,” tambahnya dalam nada tegas.

Beliau menutup ucapan dengan pesan bermakna: “Choose wisely your future life.”

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button