Campus

Kerjasama PPKKG dan Zurich Takaful perkukuh kompetensi pelajar melalui Program Zurich Takaful Padawan 4.0

Berita dan gambar oleh Anis Zulaikha Kamal

PULAU PINANG, 21 Oktober 2025: Majlis Graduasi Zurich Takaful Padawan 4.0 telah berlangsung bagi meraikan kejayaan para peserta yang menamatkan program di bawah inisiatif School of Hard Knocks (SoHK) anjuran Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) dengan kerjasama Zurich Takaful Malaysia Berhad (ZTMB).

Program ini bertujuan memperkasa pelajar dalam bidang keusahawanan, kepimpinan dan perancangan kewangan melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman industri sebenar.

Majlis graduasi dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Regional Sales Manager (RSM) Northern ZTMB, Azita Abu Hadzim, yang menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan peserta menamatkan program dengan jayanya.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen tinggi dan disiplin yang ditunjukkan sepanjang tempoh latihan,” katanya.

Sementara itu, Dr. Fikriyah Abdullah, Pengarah PPKKG, berkata program ini bukan sekadar latihan, tetapi satu perjalanan pembelajaran yang membentuk sahsiah, kemahiran dan nilai profesional dalam diri peserta.

“Pelajar perlu berusaha mencapai tahap gaji premium sebanyak RM4,000 dan ke atas setelah tamat pengajian, selaras dengan matlamat Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk melahirkan graduan yang berdaya saing dan bernilai tinggi di pasaran kerja,” jelasnya.

Majlis turut diserikan dengan ucapan perasmian oleh Shah Rizal Azmi, Ketua Pengurus Agensi SRA, yang menyampaikan pesanan inspirasi kepada para pelajar.

“Pendedahan kepada dunia takaful bukan sahaja membuka peluang kerjaya, malah memupuk kefahaman mendalam tentang nilai perlindungan dan keprihatinan. Saya berharap para graduan terus membawa semangat ini untuk menjadi pemimpin muda yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat dan industri kewangan,” ujar beliau.

Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah serta sijil graduasi kepada para peserta sebelum disempurnakan dengan sesi bergambar kenangan bersama wakil ZTMB dan pihak pengurusan PPKKG sebagai simbol kejayaan menamatkan siri program Zurich Takaful Padawan 4.0.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button