Campus

Khutbah Jumaat Khas UUM Semarakkan Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2025

Gambar Pusat Islam

SINTOK, 25 April 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Bahagian Pengurusan Risiko dengan kerjasama Pusat Islam telah menganjurkan Khutbah Jumaat Khas bersempena Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja bertempat di Masjid Sultan Badlishah dan Masjid Imam As-Syafie, UUM.

Khutbah bertajuk “Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan” telah disampaikan oleh Imam Masjid Sultan Badlishah, Mohd Firdaus Ahmat, dan Imam Masjid Imam As-Syafie, Mohd Azhar Ahmad.

Program ini merupakan sebahagian daripada siri ceramah KKP 2025 yang bertujuan meningkatkan kesedaran warga universiti terhadap kepentingan pengurusan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Antara inti pati khutbah menekankan bahawa perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh keselamatan di tempat kerja. Namun begitu, penggunaan teknologi perlulah berlandaskan nilai-nilai Islam dan prinsip kemanusiaan.

Mohd Firdaus berkata, “Marilah kita bersama-sama memastikan tempat kerja kita selamat, sihat, dan mesra teknologi.

“Majikan hendaklah bertanggungjawab menyediakan suasana kerja yang selamat dengan menggunakan teknologi secara bijaksana, manakala pekerja pula wajib mematuhi setiap arahan keselamatan yang ditetapkan bagi mengelak kemudaratan diri dan orang lain.”

Khutbah turut mengingatkan bahawa penjagaan keselamatan dan kesihatan merupakan sebahagian daripada tuntutan agama, dengan memetik firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 195:

“Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan; dan berbuat baiklah, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.”

Sebagai makluman, Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja disambut setiap 28 April sejak 2003 atas inisiatif Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Sambutan ini bertujuan meningkatkan kesedaran global tentang pentingnya pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja. Tema sambutan tahun ini ialah “Revolusi Keselamatan dan Kesihatan: Peranan Kecerdasan Buatan (AI) dan Pendigitalan di Tempat Kerja.”

Penganjuran khutbah khas ini memperkukuh komitmen UUM dalam memartabatkan budaya kerja selamat dan sihat dalam kalangan warganya, selaras dengan usaha mewujudkan suasana kampus yang kondusif dan mampan.​ – Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button