Campus

Kisah Fatini Alya hidap kanser hingga tiada lagi air liur sepanjang hidup

Gambar oleh Shamsaimi Ezil

SINTOK, 11 November 2025: Di sebalik senyuman manis di hari konvokesyen, tersimpan kisah perjuangan luar biasa seorang graduan Universiti Utara Malaysia (UUM), Fatini Alya Baharudin, 24, yang berjaya menamatkan pengajian walaupun bergelut dengan penyakit kanser kelenjar air liur (Salivary Gland Cancer) sejak tahun 2021.

Fatini berasal dari Kedah menamatkan pengajian dalam bidang Pentadbiran Muamalat di UUM pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-38, Sesi Kelima petang ini.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan ketika berucap ]dalam majlis itu turut mengajak orang ramai untuk memberi sokongan dan kata-kata semangat untuk Fatini Alya.

“Saya mohon hadirin memberikan tepukan gemuruh sebagai skongan kasih kepada beliau,” katanya.

Ketika ditemui, Fatini mengakui perjalanan untuk bergelar graduan bukanlah mudah.

“Saya rasa sangat gembira sebab berjaya sampai ke tahap ini dan menamatkan pengajian walaupun menghadapi pelbagai dugaan, terutama pada awal semester disebabkan faktor kesihatan,” katanya.

Menurut Fatini, sumber kekuatan utamanya datang daripada kedua ibu bapanya yang sentiasa menjadi pendorong utama.

“Doa, sokongan fizikal dan mental mak ayah setiap hari memberi semangat yang tak pernah lekang. Walaupun saya tak sekuat orang lain, tapi mereka buat saya percaya saya mampu,” ujarnya dengan nada sebak.

Anak bongsu daripada tiga beradik ini disahkan menghidap kanser kelenjar air liur pada tahun 2021, ketika negara masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sepanjang tempoh rawatan, Fatini menjalani enam pusingan kemoterapi dan 30 sesi radioterapi di Hospital Pulau Pinang.

“Pada waktu itu PKP masih berjalan, jadi kami mengambil keputusan untuk menyewa rumah di Pulau Pinang selama sebulan memandangkan saya perlu menjalani rawatan harian tanpa henti,” katanya.

Walaupun perlu berulang-alik ke hospital dan menanggung kesan rawatan, Fatini tidak pernah menjadikan penyakitnya alasan untuk berputus asa. Dengan semangat dan sokongan keluarga, beliau berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.59.

“Saya hadiahkan kejayaan ini untuk mak dan abah. Setiap kali keputusan keluar, mereka menangis gembira. Walaupun saya bukan pelajar terbaik, bagi mereka saya tetap hebat kerana berjaya sampai ke tahap ini,” katanya.

Ayahnya bekerja sebagai tukang gunting rambut, manakala ibunya seorang suri rumah.

Ibu Fatini yang kelihatan sebak turut berkongsi perasaan bangga terhadap anak bongsunya itu.

“Kami hanya mampu berdoa waktu dia sakit. Setiap kali dia keluar dari rawatan, dia masih buka buku dan belajar. Kadang-kadang kami sendiri yang menangis tengok semangat dia. Hari ini Allah bagi kami lihat hasil doa dan usaha dia,” ujar ibunya dengan nada sebak.

Bapanya pula mengakui kejayaan Fatini adalah satu anugerah yang tidak ternilai buat keluarga mereka, malah berharap kisah anaknya menjadi inspirasi buat graduan lain.

“Saya cuma tukang gunting rambut biasa, tapi hari ini rasa macam ayah paling bertuah di dunia. Tengok dia naik pentas, semua penat, semua sedih dulu hilang.

Saya kongsi kisah anak saya bukan untuk berbangga, tapi sebagai semangat kepada graduan lain — sama ada mereka sakit atau tidak — supaya terus berjuang dan jangan mudah menyerah,” katanya penuh rasa syukur.

Fatini menitipkan kata-kata semangat:

“Jangan putus asa. Sakit bukan alasan untuk berhenti berjuang. Percaya pada doa, pada kasih keluarga, dan pada diri sendiri.”

Fatini kini bersyukur dapat meraikan detik bersejarah di Majlis Konvokesyen UUM 2025, ditemani keluarga tercinta — bukti bahawa kecekalan, kasih keluarga dan doa mampu menewaskan segala cabaran.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button