Campus

Kisah Shamira PNGK 3.94, tiba-tiba disahkan kanser tahap 4

Gambar oleh Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 9 November 2025: Ujian terhadap seseorang itu berbeza-beza.

Begitulah yang berlaku kepada Nor Shamira Irwani Farid, graduan Sarjana Muda Pengurusan Kerja Sosial dengan PNGK 3.94, dan dikurniakan Anugerah Emas Naib Canselor pada majlis konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) di Dewan Mu’adzam Shah, hari ini.

Beliau didiagnosis pada 19 Ogos 2025 dan didapati menghidap penyakit kanser Limfoma Hodgkin (Classic Hodgkin Lymphoma).

Hanya sebulan kemudian, pada 17 September lalu, beliau disahkan berada di tahap empat.

“Pada mulanya, saya perasan ada sebiji ketulan kecil di leher kanan. Tapi disebabkan kekangan masa, saya biarkan sehingga awal tahun ini ketulan itu semakin besar dan banyak.

“Sepanjang praktikum selama empat bulan di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), saya kerap berulang-alik ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan.

“Pada awal rawatan, kemoterapi yang kuat memerlukan saya dimasukkan ke wad, sehingga tidak memungkinkan saya ke UUM Sintok untuk menghadiri majlis konvokesyen ini, tetapi perancangan Allah itu lebih tepat,” katanya.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr Mohd Foad Sakdan turut menyentuh kisah Shamira ini dalam ucapan aluan sesi pertama pagi ini, dan mengajak semua tetamu untuk memberikan tepukan sokongan kasih kepada Shamira.

“Marilah memberi tepukan gemuruh sebagai sokongan dan kasih kita kepada Nor Shamira yang hadir bersama kita dalam dewan pagi ini,” katanya.

Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Canselor UUM, mengurniakan Anugerah Emas Naib Canselor kepada Shamira.

Anak bongsu daripada tiga beradik yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan memperlihatkan perjalanan akademik Nor Shamira bukan sahaja cemerlang dari segi prestasi, malah penuh dengan ketabahan luar biasa.

Beliau menjelaskan hasil PET scan menunjukkan perkembangan positif, membolehkan doktor menukar rawatan kepada ubat yang kurang kuat, yang membolehkan beliau menghadiri sesi pertama dan sesi kelapan konvokesyen.

“Alhamdulillah, saya rasa sangat gembira dan puas dengan diri sendiri. Saya bersyukur kerana Tuhan memberi saya peluang untuk merasai nikmat kejayaan ini. Segala penat lelah selama empat tahun ini terasa terbalas,” kata beliau.

Menurut Nor Shamira, tiga sumber kekuatan utama beliau adalah keazaman, doa, dan sokongan. Keazaman menyalakan semangat sejak semester pertama untuk mengejar anugerah dan PNGK tinggi.

Doa daripada keluarga, pensyarah, rakan-rakan, serta sokongan pasangan dan keluarga menjadi dorongan untuk menempuh cabaran pengajian dan rawatan kesihatan.

Beliau menghadiahkan kejayaan ini kepada ibu bapanya, yang banyak bersusah payah menyara beliau sejak kecil, dari MRSM Merbok hingga ke UUM.

Beliau turut menitipkan pesanan bagi mereka yang menghadapi penyakit kronik atau masalah kesihatan mental.

“Jangan berputus asa. Penyakit bukan titik noktah untuk berjaya. Peganglah sekecil-kecil harapan, kerana masih ada orang yang menyokong dan mendoakan kita,” katanya.

Nor Shamira bercita-cita untuk menjadi pensyarah dalam bidang akademik dan berkhidmat dalam bidang kerja sosial perubatan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button