Kod Etika Profesional UUM bakal diperkenalkan
Berita dan gambar Nurul Fadliyana Abu Kasim
SINTOK, 19 November 2025: Sesi penggambaran bagi montaj pelancaran Kod Etika Profesional Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dijalankan di Aras 4, Jabatan Undang-undang, Bangunan Canselori Sultan Sallehudin, Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.
Penggambaran tersebut bertujuan memperkenalkan Kod Etika Profesional yang telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah Universiti dalam mesyuaratnya yang ke-156 bil.4/2025 pada 24 Ogos 2025.

Sesi penggambaran ini melibatkan rakaman video pendek dan sesi fotografi semua pegawai dan staf di Jabatan Undang-undang (JUU) yang diuruskan oleh staf Unifilm Studio UUM.
Ia bermotif untuk menyampaikan panduan utama kepada semua warga UUM secara bersahaja agar lebih mudah difahami dan dihayati.
Penasihat Undang-undang, Prof Madya Dr. Khadijah Mohamed berkata, penggambaran Montaj Kod Etika Profesional memanifestasikan komitmen staf JUU dalam mengamalkan Nilai Bersama khususnya berkomunikasi dan pembelajaran berterusan merentasi pelbagai bidang demi kecemerlangan universiti.
Menurutnya, Kod Etika Profesional telah dimuat naik dalam versi digital melalui portal rasmi UUM bagi memudahkan akses kepada semua staf universiti yang merangkumi staf akademik dan pentadbiran dalam kumpulan Pengurusan Tertinggi, Pengurusan dan Profesional, dan Pelaksana.

“Inisiatif ini diharap dapat mempertingkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap Nilai Bersama Universiti iaitu kecemerlangan, saling menghormati dan penerimaan, komunikasi, kesyukuran, pembelajaran berterusan, integriti dan muhasabah diri dalam kalangan warga UUM.
“Ia berperanan sebagai tonggak utama tadbir urus yang berintegriti, efisien, dan efektif dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk mencapai visi, misi dan objektif universiti,” katanya.
JUU amat menghargai kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh staf Unifilm Studio UUM dalam merealisasikan penggambaran tersebut.



