Campus

Kunjungan hormat delegasi MIGHT ke RMC perkukuh kerjasama strategik penyelidikan

Gambar Nur Fauziah Hanim Hassan

SINTOK, 26 Februari 2026: Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan hormat delegasi Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) pada 15 Februari lalu sebagai sebahagian daripada usaha berterusan universiti dalam memperkukuh jaringan strategik penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan serta meningkatkan keterlibatan bersama pemegang taruh pembangunan teknologi negara.

Delegasi MIGHT yang diketuai oleh Ketua Bahagian Pembangunan Teknologi Lestari, Dr. Muzammil Ismail telah disambut oleh Pengarah RMC, Prof. Madya Dr. Mohammad Azam Hussain.

Dr. Muzammil berkata, lawatan ini menjadi platform bermakna untuk meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan hala tuju penyelidikan, pemerkasaan kapasiti penyelidik serta pengembangan potensi pembiayaan projek penyelidikan secara bersama.

Dalam sesi pembentangan, Dr. Muzammil menekankan kepentingan penyelarasan agenda penyelidikan universiti dengan keperluan teknologi nasional, khususnya dalam aspek pengkomersialan hasil penyelidikan serta peranan signifikan penyelidik universiti dalam menyokong pembangunan teknologi negara secara mampan dan berimpak tinggi.

Beliau turut berkongsi pelbagai inisiatif MIGHT dalam memperkukuh kolaborasi antara industri, kerajaan dan akademia, sekali gus menyokong usaha mempercepat penterjemahan hasil penyelidikan kepada aplikasi industri yang bernilai tambah.

“Kerjasama strategik antara MIGHT dan institusi penyelidikan di UUM merupakan langkah progresif dalam memastikan idea inovatif dapat diterjemahkan kepada produk serta teknologi berimpak tinggi,” katanya.

Sesi dialog interaktif yang berlangsung turut membuka ruang pertukaran pandangan mengenai pengembangan akses kepada geran penyelidikan, perkongsian fasiliti bertaraf antarabangsa serta penglibatan industri sebagai rakan strategik dalam pelaksanaan projek penyelidikan.

Perbincangan ini turut menzahirkan potensi pengembangan projek penyelidikan berorientasikan pengkomersialan serta impak kepada masyarakat.

Sementaar itu, Dr. Mohammad Azam menyifatkan kunjungan ini sebagai pemangkin kepada pengukuhan kerjasama strategik antara universiti dan pemegang taruh teknologi negara, selaras dengan aspirasi universiti dalam meningkatkan keterlihatan penyelidikan serta menyumbang kepada pengukuhan kedudukan Malaysia dalam landskap penyelidikan global.

“Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan RMC dalam memperkasa ekosistem penyelidikan universiti melalui penglibatan strategik bersama rakan industri dan agensi nasional, sekali gus membuka peluang kolaborasi berimpak tinggi kepada komuniti penyelidik UUM,” katanya.

Turut hadir, pengurusan RMC bersama wakil Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) serta wakil Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC). – Muhammad Firdaus Abdul Hadi dan Dr. Mohamad Sabri Sinal @ Zainal

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button