Kunjungan hormat Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM
SINTOK, 12 Februari 2025: Pengarah Jabatan Pengurusan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), CP Dato’ Abdul Aziz Abdul Majid mengadakan kunjungan hormat ke Universiti Utara Malaysia (UUM), kelmarin.
Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada UUM kerana telah berkolaborasi untuk beberapa siri penilaian kompetensi yang dijalankan terhadap staf PDRM.
Kunjungan ini bagi melihat tapak pelancaran Kamus Kompetensi yang bakal diadakan di UUM tidak lama lagi.
CP Dato’ Abdul Aziz amat mengalu-alukan perbincangan dua hala yang efektif serta kerjasama yang boleh dilaksanakan antara kedua-dua belah pihak pada masa akan datang.
Beliau bersama Timbalan Pengarah Pengurusan PDRM, CP Dato’ Mohd Roze Shaari dan delegasi mengadakan pertemuan bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail dan staf UUM di Bilik Mesyuarat Senat.
Sementara itu, Prof. Dr. Russayani Ismail berkata, UUM berbesar hati menerima kunjungan delegasi PDRM dan menghargai kepercayaan yang diberikan.
“Kunjungan ini juga diadakan untuk sesi lawatan tapak bagi pelancaran Kamus Kompetensi dan kerjasama antara UUM dan PDRM yang telah bermula sejak 2020.
“Para penyelidik UUM telah melaksanakan kerjasama yang tertumpu kepada Penilaian Kompetensi Tingkah Laku Dan Potensi Polis Diraja Malaysia,” ujarnya.
Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Prof. Madya Dr. Siti Zubaidah Othman menyampaikan taklimat ringkas Pelaksanaan Kerjasama Strategik Memorandum Persefahaman (MoU) PDRM-UUM.
Selesai majlis, delegasi dibawa mengunjungi Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) UUM bagi melihat tempat penilaian kompetensi dijalankan.