Campus

Kunjungan MCRU teroka potensi kerjasama dengan SOL UUM

Berita dan gambar Dr. Mukhriz Mat Rus

SINTOK, 1 November 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melakar satu lagi detik penting dalam usahanya memperluaskan jaringan antarabangsa apabila menerima kunjungan hormat dan delegasi seramai 40 ahli dari Mahachulalongkornrajavidyalaya University (MCRU), Kampus Nakhon Si Thammarat, Thailand.

Kunjungan yang dipimpin oleh Penolong Rektor (Hal Ehwal Akademik), MCRU, Dr. Phrakru Nitithambundit Suriya Kongkawai ini menandakan aspirasi kedua-dua institusi untuk memperkukuhkan hubungan akademik dan meneroka potensi kolaborasi strategik.

Delegasi MCRU telah disambut pihak pengurusan Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL) UUM, yang diketuai oleh Penolong Naib Canselor UUM COLGIS, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab, selaku Dekan SoL UUM.

Kunjungan rasmi ini dimulakan di Anjung Tamu, diikuti dengan perbincangan lawatan ke kemudahan-kemudahan yang terdapat di Pusat Pengajian Undang-Undang, termasuklah Mahkamah Mut.

Dr. Harlida berkata, fokus utama lawatan ini bertujuan untuk menjalinkan hubungan yang lebih erat dan mampan antara MCRU dan UUM, di samping mendapatkan maklumat lanjut berkenaan penyelidikan dan program-program yang ditawarkan oleh UUM, terutama bagi program pascasiswazah.

Kunjungan ini juga bermatlamat menerokai peluang kolaborasi yang boleh dijayakan dan memberi manfaat bersama.

Sesi perbincangan yang diadakan telah berlangsung dengan lancar dan konstruktif, dengan Pensyarah Antarabangsa Pusat Pengajian Undang-Undang UUM, Dr. Sulaiman Dorloh, yang berasal dari Thailand bertindak sebagai pemudah cara.

Kunjungan ini dijangka akan membuka lembaran baharu dalam kerjasama akademik antarabangsa antara UUM dan MCRU serta memperlihatkan komitmen UUM dalam memperluas jaringan dan menawarkan program akademik yang relevan di peringkat global.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button