Lawatan Industri Institut Pengurusan Halal: Menelusuri Amalan Halalan Toyyiban ayam organik di Delima Emas
Berita dan gambar oleh Prof Madya Dr. Syarifah Md Yusof
NILAI, 29 November 2025: Seramai enam orang felo penyelidik dari Institut Pengurusan Halal (IHM), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia telah mengadakan lawatan industri ke Delima Emas Sdn. Bhd. yang terletak di Taman Industri Nilai 3, Nilai, Negeri Sembilan.
Lawatan yang diketuai oleh Pengarah IHM, Dr. Nor Aina Mhd Khotib, bertujuan memperkukuh kefahaman terhadap pelaksanaan prinsip halalan toyyiban dalam pengurusan industri makanan khususnya ayam organik yang masih kurang meluas di Malaysia.

Delima Emas Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat milik penuh bumiputera yang memiliki pensijilan halal JAKIM telah menunjukkan contoh cemerlang dalam integrasi menyeluruh rantaian pengeluaran ayam organik. Menariknya, syarikat ini menguruskan sendiri keseluruhan ekosistem penternakan ayamnya, daripada makanan ayam, penternakan, hinggalah kepada pemprosesan di kilang sembelihan dan penghasilan produk berasaskan ayam seperti nugget dan sosej.
Bagi memastikan ekosistem ayam organik berteraskan halalan toyyiban, syarikat ini turut memiliki kilang makanan ayam yang menghasilkan makanan ternakan berpandukan formula eksklusif, termasuk ramuan suplemen herba bagi memperkukuh sistem imun ayam tanpa kebergantungan kepada antibiotik, hormon dan bahan bahan kimia.
Ladangnya memperolehi pensijilan myGAP dan myOrganic oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar. MyGAP dan MyOrganic adalah dua skim pensijilan pertanian di Malaysia yang mengesahkan amalan dan produk pertanian yang selamat, berkualiti, dan mampan. MyGAP atau Amalan Pertanian Baik Malysia adalah pensijilan yang diberikan kepada pihak yang melaksanakan amalan pertanian baik yang memastikan keselamatan makanan dan kualiti hasil tinggi, manakala myOrganic adalah untuk produk yang dihasilkan secara organik tanpa menggunakan bahan kimia sintetik.

Delegasi IHM turut turut diberi penerangan tentang pendekatan yang diamalkan oleh Delima Emas dalam memastikan produk bukan sahaja berstatus halal yang sah dari segi syarak, tetapi juga menjamin kualiti, kebersihan, dan keselamatan produk sampai kepada pengguna. Menurut Dr Nor Aina, “Kami melihat sendiri bagaimana integrasi pengurusan yang telus, amalan kebersihan yang tinggi, serta penggunaan bahan semula jadi dan selamat dalam penternakan dapat menjadi model terbaik bagi pengusaha tempatan yang ingin menceburi industri makanan,” ujar beliau.
Prof Madya Dr Azizah pula berpendapat bahawa ayam organik Delima Emas wajar menjadi pilihan kepada pengguna yang mementingkan kualiti dan keselamatan makanan kerana ayam Delima Emas terbukti mengandungi kadar kolestrol yang rendah, diperkaya dengan omega 3, 6 dan 9 serta bebas daripada bahan kimia.

Delegasi IHM turut dibawa melawat ke kawasan sembelihan ayam dan bahagian pemprosesan produk siap seperti nugget dan sosej. Pemerhatian mendapati kemudahan tersebut diurus dengan tahap kebersihan yang amat tinggi dan memenuhi standard halal JAKIM. Semua aktiviti pemprosesan produk dipantau rapi untuk memastikan kualiti dan keselamatan makanan terpelihara.
Selain lawatan ke kilang, delegasi turut berpeluang menikmati sendiri keenakan menu berasaskan ayam organik di kafe Delima Space milik syarikat ini. Pelbagai produk sejuk beku keluaran Delima Emas juga dapat diperolehi daripada Delima Mart yang terletak sebelahan cafe tersebut.
Lawatan ini turut menjadi platform kepada Pengerusi Program Sarjana Muda Pengurusan Halal, Dr. Hawwa Abd Mokti untuk menjelaskan pelaksanaan Work-Based Learning (WBL) kepada pihak syarikat. Diharapkan lawatan industri ini akan membuka ruang kolaborasi yang lebih erat antara IBS dan rakan industri.



