Lawatan penanda aras dorong perkongsian amalan terbaik pengurusan Pusat Islam
Berita dan gambar oleh Muhammad Kamil Yazid
KOTA KINABALU, 4 September 2025: Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan penanda aras ke Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai usaha memperkukuh jaringan kerjasama serta meningkatkan kualiti pengurusan institusi Islam di peringkat universiti.
Lawatan ini disertai oleh seramai 18 staf Pusat Islam UUM yang diketuai Pengarahnya, Ustaz Haji Mohd Yusnaidi Md Sabri, manakala pihak tuan rumah diwakili 12 staf yang diketuai oleh Pengarah Pusat Islam UMS, Ustaz Dr. Sarip Abdul.
Objektif utama lawatan ini adalah untuk meningkatkan kefahaman terhadap model pengurusan Pusat Islam UMS khususnya dalam aspek pentadbiran, kewangan, program dakwah, kebajikan dan pembangunan pelajar. Kedua-dua pihak turut meneroka peluang kolaborasi dalam penganjuran program bersama di peringkat antara universiti, seterusnya mencapai penanda aras dalam memperkukuhkan peranan Pusat Islam UUM sebagai pusat kecemerlangan ilmu, dakwah dan pembangunan sahsiah warga kampus.
Antara pengisian sepanjang lawatan termasuk lawatan ke Masjid Universiti, ucapan oleh kedua-dua pengarah, sesi pertukaran idea, soal jawab serta jamuan mesra. Pelbagai input bermanfaat turut dikongsi seperti aktiviti pelajar dan inisiatif pengimarahan masjid, kempen sumbangan infak untuk pelajar, peranan masjid sebagai pusat informasi agama, latihan Imam Siswa serta pengurusan pentadbiran, EKSA dan kemudahan Pusat Islam untuk kegunaan komuniti.
Dalam ucapan penutupnya, Ustaz Haji Mohd Yusnaidi Md Sabri menyatakan harapan agar lawatan ini menjadi titik tolak kepada kerjasama strategik yang lebih erat antara kedua-dua institusi.
Beliau menegaskan bahawa pengalaman dan amalan terbaik yang diperoleh daripada Pusat Islam UMS akan dijadikan panduan bagi memperkasakan lagi peranan Pusat Islam UUM dalam membentuk warga kampus yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.