Lawatan staf akademik SLCP sebagai jalinan kerjasama peringkat awal SLCP, UUM dan Penang Free School (PFS)
Gambar oleh Dr dan Dr Naizatul Akma Mohd Mokhtar
PULAU PINANG, 15 Oktober 2025: Lawatan staf akademik dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) ke Penang Free School (PFS) pada 14 Oktober 2025 telah menjadi titik permulaan kepada jalinan kerjasama strategik antara kedua-dua institusi dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan warisan sejarah.
Delegasi SLCP diketuai oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Dr. Sharifah Fazliyaton Shaik Ismail yang mewakili Dekan SLCP. Turut hadir ialah wakil dari Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia (USKM) iaitu Prof Madya Dr Mohamed Ali Haniffa (Pengerusi Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan dengan Kepujian), Dr Aszlan Selamat dan Dr Naizatul Akma Mohd Mokhtar.
Lawatan ini dilaksanakan bagi memenuhi jemputan rasmi sempena Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah PFS ke-209 tahun serta membincangkan potensi kerjasama strategik antara SLCP dan PFS dalam aspek akademik dan warisan pendidikan negara.
Dalam sesi perbincangan rasmi, delegasi SLCP telah disambut mesra oleh Pengetua PFS, Encik Syed Sultan bin Shaik Oothuman , Presiden Yayasan PFS, Encik Ivan Ooi Jieun Vei, Yang Dipertua PIBG PFS, Puan Rabikha Hasni binti Suparman, serta beberapa alumni kehormat sekolah berprestij itu. Perbincangan turut dihadiri oleh Profesor Dato’ Sr. Dr Omar bin Haji Osman mantan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga merupakan alumni PFS dan ahli aktif Old Frees Association.
Menurut Encik Syed Sultan, kehadiran wakil akademik UUM ke PFS menandakan komitmen tinggi UUM dalam memperkukuh hubungan strategik dengan institusi pendidikan warisan negara. Beliau menegaskan bahawa kerjasama ini berpotensi memberi nafas baharu kepada PFS sebagai “General English School” tertua di Asia Tenggara secara amnya dan di Malaysia secara khususnya.
Sebagai simbol hubungan rasmi antara kedua-dua institusi, Dr. Sharifah Fazliyaton Shaik Ismail telah menyampaikan cenderamata daripada SLCP, UUM kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Pemegang Tabung Amanah PFS, Pengetua PFS, Presiden Yayasan PFS, dan Yang Dipertua PIBG PFS. Penyampaian cenderamata ini menandakan penghargaan UUM terhadap kerjasama dan sokongan pihak PFS dalam menjayakan program jalinan strategik tersebut.
Lawatan ini turut melibatkan peninjauan tapak warisan dan arkib sekolah, termasuk bangunan bersejarah, galeri PFS dan rekod-rekod lama yang berkait dengan tokoh-tokoh terkenal seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Seniman Negara Tan Sri P. Ramlee (Ramlee bin Puteh) semasa mereka menuntut di sekolah bersejarah ini. Aktiviti tersebut diadakan bagi mengenal pasti potensi projek pemuliharaan rekod dan kajian sejarah yang boleh dijalankan secara bersama antara pihak SLCP dan PFS pada masa hadapan.
Dr. Sharifah Fazliyaton menyatakan bahawa lawatan ini merupakan permulaan kepada jalinan akademik yang lebih mantap antara UUM dan PFS, khususnya dalam memperkukuh bidang sejarah gunaan serta kajian warisan tempatan. “SLCP komited untuk meneroka peluang penyelidikan bersama, termasuk penerbitan ilmiah dan pameran warisan pendidikan yang memberi impak kepada masyarakat,” ujarnya.
Lawatan ini diakhiri dengan sesi foto kenangan rasmi antara kedua-dua pihak sebelum delegasi berangkat pulang. Program ini dikendalikan oleh Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia (USKM), SLCP dengan sokongan penuh pihak pengurusan UUM. – Dr Aszlan bin Selamat