Campus

LifeSaver 2025: Asas First Aid

Berita dan gambar oleh Nur Batrisyia Atan

SINTOK, 12 Disember 2025: Bagi memberi pendedahan serta latihan pertolongan cemas kepada pelajar, Biro Kebajikan, Keselamatan dan Kesejahteraan telah berjaya menganjurkan program LifeSaver 2025: Asas First Aid bertempat di Dewan Terbuka BSN, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Penganjuran program ini bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan peserta dalam menghadapi situasi kecemasan, khususnya di kawasan Inasis dan sekitar kampus sebelum bantuan perubatan profesional tiba.

Menurut Pengarah Program, Nur Emysha Fitri Mohd Azuan, pelaksanaan program ini bukan sahaja memberi pendedahan asas pertolongan cemas kepada para peserta, malah membentuk keyakinan serta kesedaran terhadap kepentingan tindakan awal dalam situasi kecemasan.

Program ini telah dikendalikan oleh Tuan Md. Saifudin Saad, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), yang berkongsi ilmu dan kemahiran asas pertolongan cemas kepada para peserta. Seramai 40 orang pelajar telah menyertai program ini.

Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan kepada gabungan latihan teori dan amali yang merangkumi pelbagai aspek asas pertolongan cemas, antaranya tindakan awal kecemasan, latihan Cardiopulmonary Resuscitation (CPR), kaedah menyelamat mangsa tercekik (Heimlich Maneuver), serta pengendalian kecederaan dan imobilisasi asas.

Pengisian ini telah memberikan pengalaman praktikal kepada peserta agar mereka mampu bertindak dengan lebih yakin dan berkesan apabila berhadapan dengan situasi kecemasan sebenar.

Secara keseluruhannya, program LifeSaver 2025: Asas First Aid berjaya meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan keselamatan serta tindakan pantas dalam situasi kecemasan.

Ilmu dan kemahiran yang diperoleh melalui program ini diharapkan dapat dimanfaatkan dan diamalkan dalam kehidupan seharian bagi memastikan keselamatan diri, rakan serta komuniti kampus sentiasa terpelihara.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button