Majlis Graduasi FWD Padawan: Inisiatif SoHK UUM lahirkan pelajar bijak urus wang dan berjiwa usahawan
Berita dan gambar oleh Anis Zulaikha Kamal
KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2025: Enam pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah diraikan dengan penuh meriah dalam Majlis Graduasi FWD Padawan di ibu negara. Program ini merupakan hasil kerjasama UUM melalui Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) bersama Al Isra’ Group dan FWD Takaful di bawah inisiatif School of Hard Knocks (SoHK).
Inisiatif ini dirangka khusus untuk membentuk pelajar universiti yang berfikiran kritikal, berdaya saing dan celik kewangan, seiring dengan aspirasi melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut memiliki kemahiran kepimpinan dan keusahawanan yang holistik. Program ini juga menjadi platform penting dalam menjalin hubungan sinergi antara dunia pendidikan dan industri melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar.
Majlis dimulakan dengan sesi perkongsian yang disampaikan oleh Haji Ahmad Zul Afif Mohd Zulkefli, Trainer Al Isra’ Group. Modul terakhir ini memberi tumpuan kepada aspek pengurusan kewangan dan perancangan wang secara bijak, termasuk cara mengurus bajet peribadi, menilai keperluan perbelanjaan serta memahami kepentingan simpanan dan pelaburan beretika.
Sesi ini turut menekankan bagaimana pelajar boleh membina asas kukuh dalam pengurusan kewangan sebelum menceburi dunia kerjaya atau keusahawanan. Pelajar juga diberi peluang untuk berkongsi pandangan dan pengalaman, menjadikan suasana pembelajaran lebih interaktif dan bermakna.
Majlis diteruskan dengan ucapan pembukaan oleh pengacara majlis, bacaan doa serta persembahan lagu Al Isra’ dan lagu rasmi FWD yang menaikkan semangat serta menyemai nilai positif dalam kalangan pelajar.
Ucapan pembukaan disampaikan oleh Haji Mohd Asri Nik Mahmood, Penolong Pengurus Al Isra’ Group, diikuti ucapan penghargaan daripada Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah. Dalam ucapannya, Dr. Fikriyah menegaskan bahawa program seperti ini amat berharga dalam membentuk pelajar yang lebih bersedia menghadapi realiti dunia profesional.
“Program FWD Padawan memberi peluang kepada pelajar untuk belajar secara praktikal tentang perancangan kewangan, komunikasi dan kepimpinan. Ia seiring dengan matlamat UUM untuk melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga matang dalam membuat keputusan hidup,” ujar Dr. Fikriyah.
Sementara itu, Haji Mohd Asri Nik Mahmood menzahirkan rasa bangga atas kejayaan pelajar menamatkan program ini dengan jayanya.
“Kami percaya pelajar hari ini adalah bakal pemimpin masa depan. Melalui program ini, kami ingin menyemai nilai keusahawanan, integriti dan kesedaran kewangan sejak di bangku universiti supaya mereka dapat membina kerjaya dan kehidupan dengan lebih berstruktur dan berprinsip,” katanya.
Kemuncak majlis ialah sesi penyampaian sijil yang disempurnakan oleh Tuan Haji Mohd Fadzli Mat Noor, Pengasas Al Isra’ Group, kepada para pelajar yang berjaya menamatkan program dengan cemerlang. Sesi ini menjadi simbol pengiktirafan terhadap usaha, dedikasi dan komitmen para peserta sepanjang program dijalankan.
Majlis diakhiri dengan ucapan penutup oleh Tuan Haji Mohd Fadzli Mat Noor yang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak atas kejayaan pelaksanaan program ini. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan mendidik generasi muda tentang nilai tanggungjawab dan kebijaksanaan dalam mengurus kewangan.
“Kami di Al Isra’ percaya bahawa pelajar yang dididik dengan ilmu dan nilai akan menjadi pemimpin yang berjiwa besar. FWD Padawan bukan sekadar program latihan, tetapi satu perjalanan membina karakter dan masa depan yang lebih bermakna,” ujar beliau.
Secara keseluruhannya, program FWD Padawan ini berjaya mencapai objektifnya dalam memberi inspirasi kepada pelajar untuk mengurus kewangan secara bijak, membina daya kepimpinan serta menanam minat terhadap bidang keusahawanan. Kerjasama antara UUM dan Al Isra’ Group ini turut membuktikan bahawa pendidikan holistik mampu membentuk generasi muda yang berilmu, beretika dan berdaya saing dalam dunia moden yang penuh cabaran.